UMNO Berpengalaman Bangunkan Negara, Tangani Politik Toksid Dan Fitnah – Zurina Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Penyokong usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia, Zurina Abd Rahman menegaskan bahawa UMNO perlu mengambil pengajaran dari sejarah panjang parti.

Ini kerana katanya, pengalaman lebih 60 tahun memerintah dan membangunkan negara serta menstabilkan politik negara dengan dukungan pertumbuhan ekonomi yang mampan musnah akibat fitnah.

“UMNO mempunyai pengalaman yang cukup panjang. Pernah menjadi pemerintah lebih 60 tahun dan berjaya membangunkan negara serta menstabilkan politik negara dengan dukungan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Tetapi… dengan sedikit kealpaan, kegagalan UMNO dalam menangani dan membendung isu-isu dalaman menentang ‘musang berbulu ayam’ dan ‘musuh dalam selimut’ dengan politik toksid maka kita tewas. Kita gagal menanganinya serta hadapi adu domba dan fitnah yang keterlaluan.

“Ini mengakibatkan parti yang menjadi ‘tulang belakang’ kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada pilihan raya,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Datuk Lokman Nor Adam dan mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Hulu Terengganu menekankan bahawa asas kepimpinan yang baik terletak pada pemimpin itu sendiri.

“Bagaimana kepimpinan atasan mencorakkan pemimpin pertengahan dan bawahannya dengan acuan yang betul adalah sangat penting. Tahap mana ketegasan pemimpin atasan dalam menetapkan dasar semasa, menentukan yang baik dan buruk serta tindakan dan keputusan parti turut memainkan peranan utama.

“Kepimpinan melalui tauladan inilah akan dapat ditonjolkan hingga ke akar umbi dan dijadikan model terbaik untuk ditauladani oleh para pengundi di lapangan,” katanya.

Seterusnya beliau juga menyuarakan pandangan bahawa UMNO perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara.

“Wajarkah UMNO menerima beban dengan isu-isu negara walaupun UMNO bukannya parti utama atau parti yang dominan. Ya… kerana UMNO sebahagian dari Kerajaan Perpaduan dan menjadi tugas serta tanggungjawab untuk memastikan dan menstabilkan politik negara.

“UMNO harus buang sikap ‘abang besar’ serta pelbagai gelaran yang diberi akibat kesombongan. Seharusnya mengamalkan sikap hormat-menghormati, bertoleransi, bertolak ansur dan berkrompomi dalam mencari titik persamaan bersandar realiti dan hakikat.

“Memperkukuh persefahaman parti dalam politik Kerajaan Perpaduan dan naratif ini perlu menjadi teras utama bagi memastikan kerajaan kekal dalam politik negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit