Teruskan Solidariti, Puteri UMNO Lancar Tabung Sumbangan Kemanusiaan Untuk Palestin 2.0

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO terus bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan melancarkan Tabung Sumbangan Kemanusiaan untuk Palestin 2.0 hari ini.

Simbolik kepada itu ia juga menyaksikan pemberian mafla oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO pagi tadi.

Berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur, tabung tersebut juga akan terus digerakkan untuk mencapai sasaran RM500,000 sebelum diserahkan kepada duta Palestin sebelum musim sejuk bermula.

Walid Abu Ali dalam ucapannya meluahkan kesyukuran dengan keprihatinan Puteri UMNO Malaysia yang bermurah hati melaksanakan tabung tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan Awam, Dayang Nurazlin Nordin berkata Puteri UMNO sebelum ini juga telah menjalankan Tabung Sumbangan Kemanusiaan Untuk Palestin 1.0 yang berjaya memperoleh RM185,000 sejak dimulakan pada 20 Oktober tahun lalu.

Ia kemudiannya telah diserahkan kepada Menteri Luar Negeri pada awal tahun ini. Kutipan itu kerjasama dengan Biro Antarabangsa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit