Semoga Persidangan Pergerakan Pemuda Bawa Idea Baharu, Perkukuh Institusi Parti

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Setiausaha Biro Perkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz mengharapkan agar persidangan Pergerakan Pemuda UMNO akan membawa idea-idea baharu untuk memperkukuhkan institusi parti.

Tegasnya, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu disyukuri dan momentum tersebut mesti diteruskan pada PRK DUN Mahkota yang akan datang.

“Pada perspektif saya, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mensyukuri kemenangan besar yang memang sebenarnya tidak disangka di bumi Nenggiri. Tetapi pada masa yang sama saya dapat lihat beliau menunjukkan bahawasanya kerusi DUN Mahkota itu adalah kerusi kita.

“Maka kita nak mengekalkan status quo… kalau boleh kita nak mengekalkan kemenangan yang agak bergaya sebelum ini. Bagi saya, rakyat memang nampak menyokong kita, tetapi lebih penting adalah apa ‘practicality’ yang kita laksanakan di Nenggiri itu, dilaksanakan pula di bumi Mahkota.

“Pada kali ini, kalau kita lihat dari segi statistik, apabila ditambah antara undi BN dan Pakatan Harapan (PH), kita akan dapat majoriti lebih kurang 20,000. Tetapi pada perspektif saya, kita mesti membawa kepada kerja yang lebih kuat kerana kita nak kekalkan majoriti dan undi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Sayap-Sayap, malam tadi.

Menurutnya, parti perlu mempunyai pelan jangka masa panjang untuk memastikan sokongan anak muda kembali kepada UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

“Saya rasa untuk jangka masa panjang, kita mesti menunjukkan bahawa ini parti yang dekat dengan orang muda. Saya rasa tujuan yang kita laksanakan itu memberikan ruang yang lagi besar kepada orang muda. Kalau kita lihat dari segi statistik, 53 peratus penduduk negara ini adalah orang muda.

“Jadi, tidak salah untuk kita mengambil anak muda sebagai pemimpin. Apa salahnya kalau kita boleh bawa mereka ke dalam DUN malah di peringkat parlimen sekalipun. Ini kerana kalau di luar negara telah ada ramai pemimpin-pemimpin muda diangkat.

“Bukan sahaja menjadi ahli parlimen, tetapi turut menjadi ketua kerajaan seperti di Kanada, Sweden dan sebagainya. Tapi saya rasa inilah yang menjadi salah satu daripada hembusan semangat kepada anak muda dan ianya mesti diberikan ruang sebaik mungkin,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau beranggapan bahawa anak-anak muda ingin melihat apakah tawaran yang dapat diberikan kepada mereka sekiranya menyokong UMNO/BN.

“Kalau kita lihat kepada kerja kuat yang telah dibawa oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dengan seluruh kekuatan excodan juga kepimpinan pemuda negara, Pemuda ini memang berkampung selama lebih kurang dua hingga tiga minggu untuk mendapatkan kemenangan. Kerap disebut ‘ini maruah anak muda, ini maruah pemuda.

“Jadi ianya diterjemahkan dengan undi yang memang sebegitu tidak sangka. Lebih 3,000 undi majoriti di bumi Nenggiri. Maka kalau ditanya kepada saya, kita kena ada pelan jangka masa sederhana dan juga panjang untuk lihat apa lagi yang kita nak tawarkan kepada anak muda. Apa yang menjadi minat, apakah yang menjadi kesukaan anak muda, itu kita kena letakkan sebagai keutamaan.

“Kita kena tunjukkan kepada rakyat Malaysia, ini adalah sebuah parti yang memang lama tetapi kita membawa acuan baharu, kita bawa semangat anak muda yang semestinya akan menarik minat mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau ingin melihat kepada kesepaduan dan gerak kerja yang progresif ketika Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO berjalan pada hari ini.

“Kalau tanya kepada saya, semestinya kita nak melihat kepada kesepaduan dan gerak kerja. Kita mungkin pada hari ini ada satu kemenangan yang sangat memberikan ‘booster’ kepada kita. Tetapi, saya nak lihat kepada persidangan itu membawa idea-idea baharu yang mungkin tidak pernah kita laksanakan sebelum ini.

“Mungkin ada di kalangan jurucakap juga akan membawa isu agar lebih banyak kuota kerusi diberikan kepada anak muda ataupun pemuda itu sendiri selepas ini. Mungkin di DUN Mahkota juga ingin diperjuangkan kuota kerusi kepada Pemuda UMNO. Ini antara benda yang kita kena tunjukkan kerana rakyat memerhati.

“Rakyat melihat apa yang berlaku dalam kerajaan. Malah melihat secara khusus apa yang berlaku dalam PAU ini. Jadi, UMNO mesti dilihat parti yang memberi ruang seluas-seluasnya kepada anak muda dan mendapat tempat. Bukan hanya sekadar memacak bendera tetapi berada di ‘frontline’, menjadi pembuat dasar di peringkat DUN malah di peringkat Parlimen,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit