Renaisans Wanita UMNO Mampu Kukuhkan Parti, Perkasakan Politik Negara

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Renaisans atau kebangkitan semula bukan sekadar perubahan kosmetik tetapi ia adalah kebangkitan semula jiwa, pembaharuan minda dan pencerahan visi, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, memulakan kebangkitan semula Wanita UMNO sebagai satu gerakan yang akan menggembleng tenaga, bakat dan potensi wanita untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Kebangkitan semula wanita dalam UMNO bukan hanya berkisar mengenai memenuhi kuota atau tuntutan luaran. Ia adalah tentang mengoptimumkan bakat terbaik yang ada dalam parti, untuk menghadapi cabaran masa depan. Ia adalah tentang memastikan bahawa suara wanita, yang mewakili hampir separuh daripada pengundi kita, didengari dan dihormati.

“Kita perlu melakukan lebih daripada sekadar menggalakkan penyertaan wanita. Kita perlu secara aktif memberi peluang kepimpinan kepada wanita berbakat di semua peringkat parti. Kita perlu melabur dalam program pembangunan kepimpinan yang khusus untuk wanita.

“Dan yang paling penting, kita perlu mengubah budaya parti kita untuk menjadi lebih inklusif dan menghargai sumbangan wanita. Kebangkitan semula ini bukan sahaja akan memperkukuhkan UMNO, tetapi juga akan memperkasakan politik Malaysia secara keseluruhan. Ia akan membawa perspektif baru kepada isu-isu penting seperti pendidikan, pembangunan ekonomi dan penjagaan kesihatan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam; Datuk Seri Ahmad Said; dan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan serta barisan Exco Wanita UMNO Malaysia.

Justeru, Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru ahli Wanita bersama membina agar parti menjadi lebih kuat.

“Mari kita jadikan ini sebagai titik perubahan. Mari kita membina UMNO yang lebih kuat, lebih inklusif, dan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran.

“Saya percaya, dengan kekuatan yang ada pada Wanita UMNO Malaysia, kita mampu bersama-sama merealisasikan visi ini dalam usaha memberi nafas baharu dalam perjuangan ini,” katanya lagi.

Selanjutnya, Noraini juga berkata Wanita UMNO perlu melakukan transformasi.

“Kita mulakan dengan kepimpinan. Sudah tiba masanya, sebuah inisiatif pengkaderan dibangunkan. Yang akan mengubah sudut pandang kepimpinan wanita. Sebuah inisiatif yang mana bakat-bakat wanita kita diasah sebaik-baiknya. Sebuah inisiatif yang akan melahirkan generasi pemimpin wanita yang menggemparkan dunia!

“Inisiatif ini sangat penting. Inisiatif ini bukan tentang membina bangunan atau kursus. Inisiatif ini adalah untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin wanita berkaliber. Ia adalah medan di mana impian menjadi realiti, di mana potensi menjadi kuasa,” katanya.

Jelasnya, inisiatif ini akan dinamakan sebagai Sekretariat Lead-hership Ibu Zain, mengambil inspirasi daripada tokoh pejuang pendidikan bangsa.

Selain itu katanya, salah satu elemen penting yang akan diperkenalkan adalah Program ‘One-nita Mentoring’.

“Melalui program ini, kita akan mewujudkan jambatan antara generasi, menghubungkan pemimpin berpengalaman dengan bakat-bakat muda yang berpotensi.

“Selain daripada itu, kita juga akan menganjurkan ‘Women’s Summit’ yang akan diadakan secara berkala. Sidang kemuncak ini akan menghimpunkan pemimpin dan profesional wanita dalam dan luar negara.

“Sidang kemuncak ini akan menjadi platform untuk mereka berkongsi idea, membina rangkaian dan membentuk visi bersama demi masa depan negara,” ujarnya.

Dalam tempoh lima tahun katanya lagi, beliau mahu melihat 30 peratus daripada kepimpinan Wanita UMNO di setiap peringkat terdiri daripada wanita profesional dan terdiri daripada usahawan-usahawan berjaya, tokoh-tokoh korporat, ahli akademik dan pelbagai lagi bagi memastikan aliran idea baharu yang berterusan dan kesinambungan kepimpinan yang kukuh. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit