Puteri UMNO Inklusif, Platform Terbaik Kumpul Wanita Muda Berkaliber – Syahirunnisa
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO bukan sekadar sebuah sayap parti politik sebaliknya platform mengumpulkan wanita-wanita muda berkaliber yang bersedia memimpin dan mempengaruhi masa depan negara, kata Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Padang Besar, Syahirunnisa Ramli.
Beliau berkata ini kerana Puteri sebagai sayap paling bongsu parti membentuk peribadi yang berwawasan dalam membawa perjuangan parti.
“Kita adalah individu yang berwawasan, membawa semangat tinggi serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan aspirasi rakyat.
“Malah kita juga memainkan peranan besar dalam memastikan Puteri UMNO terus berada di hadapan dalam memperkasakan wanita secara keseluruhan, menjadikan parti ini lebih inklusif dan progresif,” katanya sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka hari ini.
Bagi terus memperkasakan Pergerakan Puteri UMNO untuk terus relevan dan diminati oleh wanita muda, Syahirunnisa mencadangkan beberapa langkah rejuvenasi dan pemerkasaan yang perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif.
Antaranya adalah dengan menarik sokongan dan kepercayaan generasi muda selari dengan seruan oleh Pejabat Utusan Belia Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inter-Parliamentary Union yang menekankan keperluan untuk mengasah aspirasi politik, menyokong calon wanita muda dan memperkasakan mereka dalam jawatan politik.
“Menonjolkan komitmen ini dalam polisi Puteri UMNO bukan sahaja akan meningkatkan daya tarikan parti di kalangan wanita muda tetapi juga menunjukkan ketegasan parti dalam menyokong dan memajukan kepimpinan wanita muda.
“Puteri UMNO juga ingin mencadangkan kepada kementerian yang terlibat seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjadikan program khas pemerkasaan wanita muda dalam politik sebagai inisiatif kerajaan dalam agenda nasional. Ini menunjukkan bahawa UMNO cakna serta mendengar suara wanita muda,” katanya.
Tambahnya lagi, selain memperkuatkan imej parti, inisiatif ini juga sebagai pemangkin kepada mereka bahawa Puteri UMNO adalah platform yang terbaik untuk disertai.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkuat imej parti sebagai penyokong kepimpinan wanita muda malah dapat mempengaruhi pertambahan ahli dengan memberikan mereka keyakinan bahawa Puteri UMNO adalah platform yang menyokong dan memberi ruang kepada mereka untuk berkembang.
“Dalam jangka panjang, pendekatan ini akan memperkukuhkan kedudukan Puteri UMNO sebagai pilihan utama untuk wanita muda yang ingin terlibat dalam politik dan menjadi agen perubahan, sekaligus memenuhi usul untuk memperbanyakkan ahli dan memajukan kepimpinan dalam parti,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu berkata imej wanita muda perlu dilihat sebagai agen perubahan dalam politik dan masyarakat dengan mempromosikan wanita muda sebagai pemimpin inovatif dan progresif yang mampu membawa perubahan nyata dalam negara.
“Ini bukan sahaja akan menarik minat golongan wanita muda untuk menyertai Puteri UMNO, tetapi juga akan memperkukuhkan kedudukan parti di mata rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online