Puteri UMNO Berjaya Tambah Cawangan, Aktif Berevolusi Sesuai Zaman – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Puteri UMNO telah menunjukkan prestasi yang membanggakan sebagai bukti terus teguh bersama perjuangan parti apabila melaksanakan pertambahan cawangan baharu dalam tempoh setahun ini, kata ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Ujar beliau, selama 12 bulan ini ada penambahan sebanyak 378 cawangan baharu Puteri UMNO yang telah berjaya bersidang pada tahun ini dan jumlah keahlian Puteri UMNO bertambah sebanyak 18,216 ahli baru di seluruh negara.

“Tahniah diucapkan kepada Puteri semua atas usaha cemerlang ini. Saya amat bangga dengan kamu semua. Hasil usaha keras ini adalah tanda bahawa Puteri masih menyinar dan insya-Allah, akan terus berkembang di masa mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Nurul Amal juga menggesa agar anggota Puteri terus aktif dan berevolusi sesuai dengan perubahan zaman.

“Perlu pantas beradaptasi dan membuat penyesuaian. Perlu berfikir di luar lingkungan dan kebiasaan. Dinamika politik sekarang terlalu pantas berubah. Sejenak kita leka, kita akan tertinggal selamanya.

“Kita perlu berkembang melangkaui sempadan parti. Berkolaborasi dengan organisasi luar agar mereka dapat melihat sendiri kemampuan dan kelebihan Puteri. Kita juga dapat belajar antara satu sama lain, dan membesarkan perspektif serta interpretasi.”

Jelasnya, Puteri UMNO juga harus komited dengan gerak kerja untuk Pilihan Raya Negeri (PRN)dan Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan wanita muda 40 tahun ke bawah menjadi sasaran

“Saya juga ingin menekankan kepada semua ahli Puteri UMNO, untuk lebih berani mengekspresi diri. Mungkin tidak perlu terlalu radikal, namun harus tegas dan bijak berkomunikasi menyatakan pendirian dan pendapat sendiri.

“Bagi orang luar, kita hanyalah sekadar penyeri parti. Jadi, buktikan dan jadikan ubat supaya semangat kita lebih kuat. Tiada sayap wanita muda parti lain, seteguh sayap Puteri UMNO,” katanya.

Dalam ucapannya, Nurul Amal memaklumkan bahawa Puteri UMNO baru sahaja meraikan ulang tahun ke-23 pada 3 Ogos yang lalu.

“Satu usia kedewasaan yang seharusnya mampu menimbang mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang jelek dan mana yang elok.

“Puteri UMNO adalah medan untuk kita belajar. Belajar berorganisasi, belajar berkomunikasi, belajar menzahirkan ilmu dalam lapangan, berpolitik, mengaplikasi ilmu seranta dan paling penting, sebagai landasan untuk kita semua berbakti kepada masyarakat.

Kewujudan Puteri UMNO asalnya adalah untuk mengglamorkan UMNO, untuk mendapatkan perhatian dan sokongan wanita muda, bersama-sama bergiat dalam medan politik. Namun, dalam masa yang sama menjadi penggerak dan berkhidmat kepada masyarakat melangkaui jurang bangsa, agama, kerjaya, ekonomi, mahupun ideologi,” katanya lagi.

Selesai ucapan dasar, pencadang dan penyokong usul akan mengambil tempat dan diikuti oleh para pembahas negeri.

Terdahulu, perasmian PAU 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi dan PAU 2024 berlangsung bermua 21 Ogos hingga 24 Ogos . – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit