Puteri Fokus Dekati Wanita Muda, Tarik Minat Untuk Bersama Dengan UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai program yang bukan sahaja kepada kelompok ahlinya namun turut sama menglibatkan bukan ahli parti bagi menarik minat mereka untuk bersama dengan UMNO.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata melalui aktiviti seupama itu ia bukan sahaja merapatkan ukhuwah sesama Puteri bahkan dapat menambah sokongan dalam kalangan wanita muda untuk menyertai parti ini.

“Puteri UMNO selalu mengutamakan bukan melibatkan ahli sahaja tapi kita cuba untuk keluar daripada kepompong keahlian ini, tetapi ahli ini menjadi satu kekuatan untuk Puteri UMNO untuk menggapai lebih ramai untuk bersama.

“Semalam Penerangan Puteri UMNO Malaysia telah mengadakan pidato dan hari ini adalah peringkat akhir dan pemenang yang ketiga adalah daripada Sabah yang bukannya daripada Puteri UMNO dan sebelum ini tak pernah mengenali UMNO pun.

“Dan tadi masa berpidato itu, dia berterima kasih kepada Puteri UMNO kerana membuka ruang ini kepada dia yang sememangnya minat berpidato, malah mengisytihar akan masuk UMNO.

“Jadi saya rasa pendekatan dan juga cara untuk Puteri UMNO mendekati orang yang di luar daripada kepompong kita, ini perlulah kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024 oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Nurul Amal dalam pada turut berkongsi penekanannya di setiap peringkat Puteri untuk mengadakan pelbagai program mengikut minat kelompok-kelompok anak muda dan umur. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit