Perlaksanaan TVET Bantu Tingkat Kemahiran, Ekonomi Anak Muda – Zainab Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Wanita UMNO Pulau Pinang merakamkan penghargaan pada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas usaha memperkasa dan perlaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata pembahas usul Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Zainab Abu Bakar.

Menurutnya, komitmen yang diberikan oleh Presiden parti tentang perlaksanaan TVET yang mahukan pembangunan modal insan terutamanya kehidupan anak-anak muda lebih terbela perlu diberikan pujian.

“Wanita UMNO Pulau Pinang ingin merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO kita merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara yang telah memperkasa perlaksanaan TVET bagi anak-anak muda yang ingin menaikkan taraf kehidupan mereka.

“Sehubungan dengan itu Wanita UMNO Pulau Pinang menyarankan kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk mempergiatkan memberi kefahaman dan hala tuju yang jelas kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa selepas memperolehi sijil atau pun diploma kemahiran TVET mereka.

“Ini kerana ramai lepasan sijil atau pun diploma kemahiran masih tidak jelas arah tuju dan seterusnya mengakibatkan tidak mendapat pekerjaan yang bersesuaian. Maka ia harus diberikan latihan modal insan dan kemahiran TVET kepada anak muda ini amat perlu bagi mereka lebih bersedia mendepani cabaran masa kini dan seterusnya,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Datuk Mohd Rafii Alli Hassan; Datuk Lokman Nor Adam; mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

Zainab yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas turut meluahkan keresahan apabila ketika ini banyak dilaporkan tentang gejala sosial yang melibatkan remaja.

“Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak, menyebutkan kes lari dari rumah antara tahun 2019 hingga 2022, meningkat dari 2,977 kepada 3,589 orang. Secara purata, dalam sehari terdapat tiga orang remaja dilaporkan lari dari rumah.

“Umur yang paling tinggi terbabit adalah sekitar 13 hingga 15 tahun. Apabila dikaji kebanyakan depa (mereka) terikut kawan-kawan atau teman lelaki. Kes lagu (seperti) ni, lapor hilang, lepas itu jumpa semula kat rumah kawan lelaki.

“Kebanyakan ibu bapa beri kepercayaan dan kebebasan penuh kepada anak-anak untuk berkawan dan bersosial, masing-masing dah ada ‘handphone’, syarikat Telco berlumba-lumba menawarkan pakej internet tanpa had,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kerjasama semua pihak agar masalah sosial melibatkan remaja dapat dibendung.

“Ibu bapa sibuk dengan kerja demi memastikan keperluan fizikal anak-anak dapat dipenuhi, tapi dalam masa yang sama mereka juga sama-sama rancak dengan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya sehingga tidak mempunyai masa untuk memantau pergerakan mereka.

“Saya mendesak agar kementerian yang berkaitan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dapat memperbanyakkan program ‘out reach’ bersama mereka agar mendapat informasi mengenai kesedaran yang berkesan pada mereka,” jelas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit