Perhimpunan Agung Pemuda Berjaya Bina Kerangka Besar, Bukan Sekadar Rutin Tahunan – Hairi

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah melihat Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang saban tahun diadakan bukanlah sekadar rutin tahunan namun ia lebih membawa maksud yang tersirat serta tersurat kepada perjuangan pergerakan itu.

Menurut beliau menerusi ruang dan peluang berkenaan maka masing-masing dapat membugar serta membina pelbagai kerangka dalam usaha parti khususnya institusi Pemuda mengorak langkah ke depan atas satu perjuangan.

“Perhimpunan Agung UMNO bukanlah satu rutin tahunan untuk berkumpul semata, bahkan menjadi ruang muhasabah, menilai prestasi dan kedudukan parti, memperteguh ideologi konservatif, membugar kelemahan serta membina kerangka besar bagi menentu hala tuju parti keramat ini.

“Alhamdulillah, berdasarkan perbahasan, topik yang diangkat dan usul yang diperbincangkan sahabat-sahabat perwakilan semua, saya lihat sudah menunjukkan satu peningkatan ke tahap yang lebih baik berbanding tahun sudah.

“Ini juga membuktikan sahabat-sahabat perwakilan yang berbahas di atas pentas ini tahu dan membuat ‘homework’ khususnya mengenai perkara yang ingin diutarakan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, petang tadi.

Menerusi ucapannya juga, beliau turut menegaskan kestabilan sesebuah kerajaan adalah kunci kepada segala-galanya yang akhirnya memberi limpahan manfaat kepada sesebuah negara berkenaan, sekaligus kepada seluruh rakyat.

“Kestabilan sesebuah kerajaan yang memerintah itu menjadi kunci segalanya dalam membentuk negara, negeri mahupun melaksanakan dasar yang memberi manfaat dan kebaikan buat rakyat. Apa makna sebuah kerajaan yang stabil? Mengapa penting sangat sehingga UMNO memperjuangkan dan membawa ‘tagline’ kestabilan.

“Saya bagi beberapa contoh umum dan mudah untuk melihat kesan kestabilan yang dibuat menteri-menteri daripada UMNO. Kita lihat Presiden kita, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah antara yang paling lantang dan banyak kali menekankan soal dasar ekonomi bumiputera, Pendidikan TVET dan penambahbaikan pembangunan di peringkat luar bandar.

“Begitu juga Timbalan Presiden, Menteri Luar kita, Datuk Seri Mohamad Hassan juga antara yang lantang di peringkat ASEAN mahupun dunia dalam aspek menambah baik polisi dan hubungan serantau. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan, banyak perkara sudah diusahakan dari aspek kebajikan veteran, pesara tentera, sehinggalah ke peringkat penambahbaikan dasar dan hubungan ketenteraan antara negara-negara besar dunia.

“Begitu juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula dari sekecil-kecil isu penyatuan pekebun kecil sehinggalah ke peringkat mempertahankan kepentingan industri minyak sawit negara yang menghadapi cabaran dari negara Eropah. Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula dari sekecil-kecil transformasi dalam Dewan Rakyat sehinggalah ke peringkat antarabangsa lantang dalam isu Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Pulau Batu Puteh,” ujarnya.

Ujar beliau lagi itu adalah antara sebahagian contoh menteri-menteri daripada UMNO yang telah melaksanakan sebaiknya selain menteri lain serta timbalan menteri daripada parti berkenaan yang hari ini telah berjaya mewujudkan kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan hari ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit