PENTalk: Tsunami Politik 2018 Beri Pengajaran… Peringatan Depani PRU Akan Datang

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata negeri terbabit tidak terkecuali daripada tsunami politik yang berlaku pada tahun 2018 namun kemudiannya berupaya bangkit dan meneruskan perjuangan.

Jelasnya, kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu merupakan satu pencapaian terbesar kepada parti dan memberikan suntikan kepada anggotanya.

“Melaka tidak terkeluar daripada masalah yang berlaku pada 2018. Kita kalah, tidak dapat bentuk kerajaan. Kita hanya menang 13 kerusi, terpinggir dan berjalan selama 22 bulan. Berlaku perubahan Langkah Sheraton, kita mengambil langkah untuk ambil alih Kerajaan Negeri Melaka yang telah terbiar wakil rakyat BN selama 22 bulan.

“Akhirnya terbentuk sebuah kerajaan baharu. Kita meletakkan seorang tokoh daripada UMNO untuk menjadi ketua menteri bagi mengurus tadbir Negeri Melaka. Sepanjang 22 bulan itu kita umpama ‘ayam yang kehilangan ibu’. Tidak tahu mana nak pergi.

“Saya memberi peringatan ini supaya pilihan raya yang akan berlaku dua tahun lagi… kita tidak mahu berulang apa yang berlaku pada 2018 di Negeri Melaka. Selepas itu berjalan kerajaan berbaki 18 bulan dan kita bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka untuk menguji sama ada rakyat Melaka pada ketika itu memilih kerajaan mana yang baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata perjalanan politik yang dilalui oleh UMNO di negeri terbabit memberikan satu pengajaran.

“Akhirnya kita menang dua pertiga dalam PRN. Daripada 28 kerusi, kita menang 21 kerusi. Satu jumlah luar jangka. Semua orang pada ketika itu mengatakan kepada saya jangan buat PRN kerana Melaka paling tinggi boleh menang sembilan kerusi.

“Tetapi saya yang diberi amanah oleh Presiden untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka menaruh keyakinan bahawa kita boleh membentuk kerajaan. Walaupun tidak mudah, tetapi mesti boleh membentuk kerajaan.

“Saya nak mengingatkan bahawa berdiri kita di sini disebabkan rakyat memilih kita. Apakah selepas pilihan raya akan datang kita masih lagi boleh berdiri di sini dan bentangkan apa kejayaan yang kita buat? Tepuk dada, tanya selera. Pengajaran 2018 ini mesti dijadikan ukuran untuk melangkah masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Program PENTalk yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024, semalam.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah melaporkan pelbagai pencapaian sepanjang beliau menjawat jawatan tersebut di bawah Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“Walaupun Kerajaan Negeri Perak ditubuhkan dengan sepuluh orang exco, kita hanya ada tiga orang exco daripada UMNO dan tujuh daripada PH (Pakatan Harapan). Tetapi dengan kehendak Allah juga maka kita mampu. Alhamdulilah. Untuk menterjemahkan keyakinan itu, saya nak laporkan beberapa pencapaian serta kemajuan yang kita buat.

“Pada tahun 2022 pelaburan di Negeri Perak hanyalah RM6.6 bilion tetapi 2023 kita mencapai RM8.5 bilion, menunjukkan pencapaian sebanyak RM1.9 bilion dan ia memberi peluang kepada 3,584 peluang pekerjaan baharu.

“Kedua berkaitan dengan hasil negeri. Pada tahun 2022 kita mencapai RM1.09 bilion tetapi alhamdulilah pada 31 Disember 2023 dibuktikan kita telah mencapai hasil RM1.21 bilion yang merupakan angka tertinggi yang pernah direkodkan iaitu melebih tujuh peratus disasarkan,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu lagi.

Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri Perak juga berjaya untuk menurunkan kadar pengangguran dan memperoleh pendapatan tambahan di negeri tersebut.

“Seterusnya ialah berkaitan memakmurkan negeri. Pada hujung tahun 2022 bajet Negeri Perak menunjukkan surplus RM29.6 juta tetapi alhamdulilah pada tahun 2023 surplus itu meningkat kepada RM62.4 juta. Berlaku pertambahan.

“Pada tahun 2023 suku keempat, pengangguran pada kadar 3.3 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2022 dan juga 5.3 peratus pada 2021. Ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran di Negeri Perak semakin berkurangan dan insya-Allah tahun-tahun seterusnya kita akan dapat menurunkan lagi kadar pengangguran ini.

“Dalam tempoh satu tahun juga kita telah berjaya memperoleh pendapatan tambahan untuk Kerajaan Negeri Perak sebanyak RM3 juta. Kita masih ada lagi 5,000 ekar tanah yang dapat kita manfaatkan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengajak rakyat Negeri Perak untuk terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan UMNO Negeri Perak di atas kejayaan yang telah dicapai.

“Daripada pendapatan lumayan itulah kita nak teruskan pembangunan modal insan. Kita nak berikan pendidikan, tambahkan kekuatan dan kehebatan orang muda Perak kerana selama ini orang muda meninggalkan Perak kerana katanya tidak ada peluang pekerjaan.

“Sekarang, kita bangunkan Negeri Perak dengan penuh keyakinan bahawa ada masa depan yang sangat cerah untuk orang Perak. Maka orang Perak kena sokong Kerajaan Perpaduan, kena terus memberikan sokongan kepada UMNO Negeri Perak,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.