Pemuda UMNO WP Cadang Jalan TAR Digazetkan Kawasan Warisan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Wakil Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Zamri Mahamud mencadangkan agar peniaga-peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR digazetkan sebagai kawasan warisan, sepertimana Petaling Street bagi masyarakat Cina dan Brickfields bagi masyarakat India.

Katanya langkah berkenaan amat penting dalam usaha memastikan survival peniaga-peniaga Melayu di kawasan terbabit terus terpelihara sekaligus dapat mengembangkan lagi ekonomi masing-masing.

“Saya ingin menarik perhatian kepada nasib peniaga-peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, khususnya di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Peniaga-peniaga kecil, yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu yang kurang berkemampuan, kini berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat tindakan DBKL.

“Banyak premis perniagaan yang mati dan hambar kerana tekanan yang dikenakan. Oleh itu, kami mencadangkan agar peniaga-peniaga di Jalan TAR digazetkan sebagai kawasan warisan, sepertimana Petaling Street bagi masyarakat Cina dan Brickfields bagi masyarakat India. Ini adalah langkah penting untuk memastikan perniagaan Melayu di kawasan ini terus berkembang dan kekal relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, sebagai contoh, Pasar Seni dahulunya diurus oleh DBKL untuk perniagaan Melayu, tetapi kini ia tidak lagi berfungsi dengan tujuan asalnya.

“Kita perlu mengambil langkah untuk mengembalikan fungsi asal kawasan-kawasan perniagaan ini agar terus memberi manfaat kepada komuniti Melayu,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.