Pemuda UMNO Tubuh Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat Kalangan Mereka

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat dalam kalangan mereka yang mewakili sayap parti itu, ujar Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh.

Katanya, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk membuktikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia komited mahu melahirkan wakil rakyat ‘Yang Berkhidmat’ dengan ikhlas dan bukan sekadar gelaran ‘Yang Berhormat’.

“Tugas jawatankuasa ini adalah untuk memastikan setiap wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO, mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa dari masa ke semasa.

“Semua akan ada ‘report card’, untuk kita semua nilai sama ada prestasi mereka cemerlang atau sebaliknya. Kita mahu bukti kita benar-benar lahirkan ‘Yang Berkhidmat’ yang ikhlas,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Hadir sama wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang terdiri daripada Naib Presiden Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli MKT Datuk Azian Osman dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta barisan kepimpinan Pemuda UMNO.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir ketika pertengahan Dr Akmal berucap.

Seterusnya ujar Dr Akmal lagi, jawatankuasa tersebut akan diketuai Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia Hafiz Ariffin.

Untuk rekod, terdapat lima orang wakil rakyat yang terdiri daripada Pemuda UMNO iaitu Dr Akmal sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka; ADUN Larkin yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah; ADUN Tanjung Surat juga selaku Exco Kerajaan Negeri Johor Aznan Tamin.

Begitu juga ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar dan terkini ADUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Dr Akmal juga berpesan kepada kelima-lima wakil rakyat termasuk dirinya sendiri agar sentiasa mendahului kepentingan rakyat dalam memberi perkhidmatan.

“Buat para ‘Yang Berkhidmat’ yang ada dalam pasukan Pemuda UMNO Malaysia ini, saya nak bagi amaran termasuklah amaran kepada diri saya sendiri, jangan malas, jangan culas, jangan ngelat, jangan berdalih bila nak tolong rakyat.

“Kalau saya dapat tahu ada wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO ini yang tak buat kerja, jangan mimpi hendak jadi calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya.

Selain itu katanya, Pemuda UMNO juga akan menawarkan satu aplikasi di telefon pintar yang dinamakan ‘Hey Pemuda’ untuk Pemuda di akar umbi terutama yang berhajat mahu menjadi wakil rakyat.

“Untuk yang berhajat menjadi wakil rakyat pula, buat Pemuda Bahagian mahupun Cawangan, kita akan melancarkan ‘apps’ ‘Hey Pemuda’ yang boleh dimuat turun oleh semua orang, bukan sahaja ahli parti semata-mata.

“Menerusi ‘apps’ ini, orang ramai boleh membuat aduan berhubung permasalahan mereka dan isu-isu yang bersifat lokaliti, dan barisan Pemuda perlu segera tampil membantu menyelesaikan dan mempermudahkan aduan-aduan ini,” jelasnya.

Dalam ucapan dasarnya, Dr Akmal turut menyentuh mengenai permasalahan yang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga Felda.

“Dalam pertemuan bersama mereka, hakikatnya terdapat pelbagai isu yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan.

“Antara isu yang membelenggu mereka adalah isu pemilikan dan perwarisan tanah, isu rumah dah siap tapi air dan elektrik tak boleh masuk, isu peluang ekonomi yang sebabkan generasi baharu ini terpaksa pindah ke luar Felda, dan isu-isu keciciran akademik yang membantutkan potensi mereka,” katanya.

Justeru katanya, Pemuda UMNO akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda yang akan diketuai Aznan dan digerakkan oleh semua cawangan Pemuda UMNO yang ada di setiap Felda.

“Saya bagi tempoh enam bulan dari sekarang, untuk menggerakkan keseluruhan jentera Pemuda UMNO di setiap Felda bagi mengumpul isu-isu yang dibangkitkan oleh generasi baharu Felda, dan semuanya akan kita himpunkan di dalam Konvensyen Pemuda UMNO Felda pada penghujung tempoh enam bulan ini.

“Menerusi konvensyen ini, kita akan duduk berbincang dan hasilkan resolusi-resolusi untuk diserahkan kepada pihak kerajaan, pihak Felda dan agensi-agensi pemegang taruh yang berkaitan,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit