Pemuda UMNO Hulur Tangan Jayakan Penyatuan Melayu Merentasi Politik

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia hari ini mengajak ahli-ahli politik Melayu untuk menjayakan penyatuan orang-orang Melayu di negara ini dan keadaan itu harus melangkaui sempadan politik.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata perlunya ada usaha dan jalan ke arah berkenaan supaya segala agenda serta usaha untuk membangunkan bangsa dan sebagainya terus berjalan sebaiknya demi kepentingan semua pihak.

“Penyatuan Melayu harus merentasi sempadan politik. Saya juga menyentuh berkenaan perlunya ada jalan untuk menyatupadukan politik dalam kalangan orang Melayu. Perpecahan dalam kalangan orang Melayu merumitkan lagi usaha dan agenda untuk membangunkan bangsa.

“Atas kesedaran tersebut Pemuda UMNO Malaysia menghulurkan tangan untuk mengajak ahli-ahli politik Melayu daripada setiap parti politik untuk berusaha ke arah ini,” katanya pada sidang media selepas penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Penubuhan Jawatankuasa Pemuda FELDA serta Pemantauan Wakil Rakyat Pemuda dalam usaha memastikan kelancaran serta khidmat wakil rakyat terhadap rakyat yang lebih berkesan.

“Atas dasar mengambil berat anak-anak FELDA, Pemuda menubuhkan sebuah Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO FELDA. Ini bertujuan untuk membantu pelbagai isu yang dihadapi oleh mereka, yang memerlukan perhatian serius daripada pihak Kerajaan.

“Selain itu, sebuah Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat Pemuda UMNO Malaysia akan ditubuhkan untuk memastikan setiap wakil rakyat melaksanakan khidmat sebaiknya,” ujarnya.

Pada sidang media yang sama Dr Akmal turut mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada masyarakat terutama pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).

“Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Nenggiri di atas kepercayaan yang diberikan kepada BN. Pada PRK tersebut, BN telah memenangi 18 saluran muda daripada 20 (90%), daripada 9,091 undi diperolehi BN, sebanyak 4,199 undian adalah daripada sokongan golongan muda (46.2%),” ujarnya.

Dr Akmal seterusnya mengucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO termasuklah pembahas yang telah melontarkan pandangan serta lontaran idea dalam pelbagai aspek.

“Alhamdulillah syukur, hari ini selesai Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia 2024 petang tadi dengan kehadiran dari 1,173 orang perwakilan seluruh tanah air. Hari ini seramai 15 orang pembahas dari 13 buah negeri telah pun membahaskan ucapan dasar dan isu-isu yang dekat di hati generasi muda.

“Kebanyakan menyentuh soal, ekonomi orang muda, hal ehwal politik dalaman dan luaran parti, kemenangan PRK Nenggiri baru-baru ini dan sebagainya,” ujar beliau.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.