Pembaharuan UMNO Penting Untuk Kembalikan Keyakinan Rakyat – Suhaila M. Zin

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pencadang usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia, Suhaila M. Zin menegaskan perubahan segera perlu dilaksanakan agar UMNO terus relevan dalam politik negara.

Katanya, masa depan UMNO bergantung kepada proses pembaharuan dan perubahan yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Masa depan UMNO terletak kepada proses pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan memberi nafas baharu di dalam arena politik negara serta komitmen Wanita UMNO sebagai tonggak kekuatan parti.

“Meneruskan usaha memantapkan struktur parti dengan penubuhan sebuah institusi pengkaderan Wanita UMNO Malaysia yang akan bertindak sebagai agen untuk membina legasi dengan mencungkil potensi dan melahirkan pemimpin-pemimpin wanita yang berkaliber bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan parti yang berwibawa dan berintegriti serta memastikan 30 peratus kuota wanita dalam Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Memperkukuhkan semangat perjuangan UMNO dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta meningkatkan usaha mempromosikan nilai-nilai Islam yang sederhana dan inklusif,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said; Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Datuk Lokman Nor Adam; mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

Suhaila yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Raja menjelaskan sepanjang Kerajaan Perpaduan ditubuhkan rakyat dapat menikmati kestabilan politik yang dikecapi sekarang ini.

“Kita harus mensyukuri kestabilan politik yang dikecapi hasil daripada persefahaman parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Ia mampu membawa Malaysia Madani ke tahap yang diimpikan.

“Mengukuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagai platform utama perbincangan dan mencari persefahaman di antara parti-parti politik di dalam kerajaan bagi mengelakkan pertembungan secara terbuka perbezaan pandangan bagi membolehkan sokongan akar umbi dapat diraih kembali.

“Menyeru Kerajaan Perpaduan memastikan segala dasar dan polisi terutamanya melibatkan ekonomi yang digubal, dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira ekonomi rakyat, bagi memastikan rakyat tidak menerima impak yang besar hasil daripada perubahan dasar yang dibuat oleh kerajaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata beliau lagi, kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita amat penting dalam agenda membina negara atau ‘nation-building’ dalam aspek ekonomi mahupun pentadbiran.

“Pemerkasaan wanita melalui dalam pentadbiran awam, membuat keputusan dan penggubalan dasar boleh membawa hasil yang lebih baik dalam peningkatan ekonomi negara melalui pemanfaatan bakat wanita.

“MITI melalui agensi MATRADE melaporkan perdagangan bagi bulan Julai hampir RM237 bilion iaitu peningkatan 18 peratus berbanding tahun sebelumnya dan semua tahu atau tidak yang 69 peratus pengurusan tertinggi MITI terdiri daripada wanita,” jelasnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit