Pelbagai Program Capai Sasaran, Institusi Pemuda Perlu Berpegang Nilai Tersendiri

KUALA  LUMPUR, 22 Ogos – Pelbagai program Pemuda UMNO Malaysia dilihat berjaya mencapai sasaran sekaligus memperlihatkan pergerakan itu berjalan atas landasan yang tepat sepertimana yang digariskan sebelum ini dalam usaha memartabatkan lagi perjuangan parti.

Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin dalam laporan menerusi ucapan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pagi tadi menjelaskan pelbagai program dilaksanakan di akar umbi dalam usaha menyatukan serta memastikan obor perjuangan parti terus menyala.

“Walaupun kita tidak lekang dengan pelbagai pilihan raya demi pilihan raya, namun ia tidak sesekali pun membantutkan usaha Pemuda pusat khususnya Dr Akmal Saleh dan kepimpinan untuk turun bertemu akar umbi. Sehingga kini, Dr Akmal Saleh telah menjelajah hampir 70 bahagian seluruh tanah air dalam tempoh setahun setengah.

“Siri jelajah ini adalah untuk menyantuni akar umbi UMNO di peringkat negeri-negeri dan bahagian-bahagian untuk memerhati perkembangan akar umbi dan menjalinkan rangkaian dengan kepimpinan setiap negeri.

“Saya ucapkan terima kasih buat rakan-rakan pimpinan di bahagian yang menjemput dan mengaturkan program. Insya-Allah kita akan perhebatkan lagi untuk masa akan datang,” katanya.

Kata beliau lagi misi kemanusiaan juga berada dalam radar pergerakan itu dan misi bantuan banjir termasuklah di Kelantan dan Johor serta beberapa tempat lain yang dilanda musibah terus disantuni sebaiknya dalam usaha membantu mereka yang dilanda musibah.

“Pemuda juga turut cakna hal-hal berkait dunia, menyambung usaha Himpunan Solidariti Bersama Palestin pada April 2023, kita teruskan dengan Himpunan Solidariti bersama Gaza di perkarangan Masjid Negara selepas selesai Solat Jumaat bersama-sama dengan rakan-rakan politik parti-parti lain. Kita juga turut serta dalam siri Kepung Demi Palestin pada Disember 2023 di Kedutaan Besar Amerika Syarikat.

“Begitu juga dalam soal antarabangsa… kita turut melebarkan sayap dengan mengukuhkan hubungan antarabangsa. Program JENESYS di Jepun telah dihadiri oleh Dr. Akmal Saleh yang bertujuan untuk membina asas kerjasama dan persahabatan dengan ahli-ahli Kerajaan Jepun.

“Hairi Md Shah, Naib Ketua Pemuda Malaysia pula ke negara China bagi program khas ahli politik muda di rantau Asia. Kita juga telah menerima kunjungan hormat dari jawatankuasa World Uyghur Congress. Sebagai entiti yang menolak keganasan, apatah lagi usaha pembersihan etnik, advokasi mereka akan keganasan yang menimpa etnik Uyghur, menarik perhatian Pemuda UMNO agar isu ini diberi perhatian dunia,” ujarnya.

Tegasnya, untuk kehadapan, perbalahan dalaman mesti dihentikan dan saat UMNO masih berada di titik yang rendah parti tidak lagi boleh tampung kesan perbalahan dalaman.

“Sebab apa… sebab parti-parti seteru kita yang akan dapat segala keuntungan atas kelemahan kita terutamanya penyokong asas kita. Dan mereka akan dapat keuntungan ini secara percuma, tidak perlu susah-susah kerja. Sehinggakan akhirnya UMNO terpaksa bergantung hidup dengan kuasa lain.

“Kebergantungan UMNO kepada kuasa lain bukan sahaja tidak pernah berlaku sepanjang sejarah UMNO, tetapi kebergantungan ini menjadikan UMNO dilihat lemah. Untuk jangka masa panjang semakin sempit ruang autonomi kita. Kalau ditakdirkan kuasa yang kita bergantung harap itu tumbang, kita juga ikut tumbang sama.

“Sebab itu institusi Pemuda perlu berpegang kepada nilainya tersendiri. Institusi Pemuda ini adalah sayap muda tertua antara parti-parti lain. Dalam masa lebih 70 tahun, begitu ramai pemimpin diasah bakatnya di sini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit