PAU 2024: Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh

Bismillahirrahmanirrahim,

KITA MASIH DI SINI

Kita masih di sini, walau dihentam badai,
Walau ditikam, diinjak dan ditombak,
Kita berdiri di bawah langit biru, tidak meminta dipuja-puja,
Kita berjuang demi UMNO, tidak menginginkan harta benda,
Kita korbankan jiwa dan raga, demi tanah air tercinta.

Kita masih di sini, walau ranjau berduri,
Menerang yang gelap gelita, penuh dengan makna,
Kita masih disini, menjadi penyelamat anak –anak bumi,
Kita kibarkan keberanian melawan kebatilan,
Kita bangkitkan semangat melawan kezaliman.

Nenggiri menjadi saksi, kita masih disini,
Ketika tentangan makin kuat, makin kuat kita berkubu,
Ketika kawan menjadi lawan, makin kuat kita bertahan,
Ketika ada yang memadamkan api perjuangan, makin kuat kita nyalakan.

Kita masih di sini, walau dunia berubah bisu,
Kau kunci mulut kami, makin kuat kami teriak,
Kau sekat pandangan kami, makin hebat kami melangkah,
Kau pekung badan kami, makin berkobar-kobar kami melawan.

Biar apa pun yang datang, kita tetap teguh,
Di bawah panji sang saka bangsalah kita berteduh,
Kita masih di sini, untuk kekal berani ,taat dan setia
Kerana cinta pada tanah air ini, takkan pernah mati

Saudara-saudaraku, buat mereka yang telah pergi. Sahabat sabahat perjuangan kita. Kita bacakan Al Fatihah untuk mereka.

[SALUTASI]

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

MUKADIMAH
1. Saya bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 1500 perwakilan Pemuda dari 191 bahagian seluruh Negara, yang mewakili lebih 11,000 cawangan Pemuda UMNO ke perhimpunan ini dengan membawa suara dari peringkat akar umbi.

2. Saya ucapkan TAHNIAH – kerana apa? Kerana setelah setahun kita memeteraikan janji untuk terus bersama-sama dalam perjuangan membela bangsa, agama dan negara, walau dihentam, ditolak, disepak, diterajang – Alhamdulillah, kita MASIH DI SINI!

3. Takkan mungkin kita semua MASIH DI SINI, kalau jiwa kita tidak kuat. Takkan mungkin kita semua MASIH DI SINI, kalau nawaitu kita mudah disiat. Takkan mungkin kita semua MASIH DI SINI, kalau kita tidak percaya bahawa UMNO adalah parti keramat.

4. Saya berdiri di hadapan anda semua dengan perasaan yang penuh keinsafan dan tanggungjawab, membawa amanah untuk melaksanakan yang terbaik demi agama, bangsa, dan negara. Dan atas kekentalan anda semua untuk MASIH DI SINI, terimalah TABIK HORMAT dari saya, Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tahniah!

KESINAMBUNGAN “INI RUMAH KITA”

Sahabat-sahabat Pemuda,
5. Setahun yang lalu, saya mengingatkan kepada kita semua, bahawa INI RUMAH KITA. Kita semua bangkit berdiri dan berikrar untuk terus setia mempertahankan RUMAH KITA dengan CARA KITA.

6. Dalam ucapan saya tahun lalu, saya mengingatkan bahawa UMNO adalah rumah kita, rumah kepada perjuangan orang Melayu yang telah terbina sejak 1946. Rumah ini telah melalui pelbagai badai dan taufan – namun tetap berdiri kukuh kerana asasnya yang teguh dan penghuninya yang setia.

7. Hari ini, saya ingin menegaskan bahawa rumah ini akan terus berdiri selagi kita semua, khususnya Pemuda UMNO, terus memegang kuat kepada prinsip-prinsip perjuangan kita.

8. Prinsip-prinsip inilah yang menjadi tiang seri kepada RUMAH KITA ini. Di sebalik kesucian sepersalinan baju melayu putih yang kita pakai pada hari ini, hakikatnya tersimpan bara keramat dalam setiap jiwa Pemuda untuk kembali memastikan UMNO di tempat yang selayaknya.

SETAHUN LAYARAN PEMUDA UMNO MALAYSIA – TANPA TAKUT TANPA RAGU

Barisan Pemuda sekalian,

9. Dalam setahun yang lalu, Pemuda UMNO telah membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperjuang dan mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Islam. Pemuda UMNO sentiasa menjadi suara – TANPA TAKUT, TANPA RAGU (NO FEAR, NO SURRENDER) – untuk membela rakyat bertujuan untuk memperkasakan anak muda Melayu, dari aspek ekonomi, pendidikan, hingga kepada pengukuhan jati diri.

10. Setahun yang lalu – TANPA TAKUT, TANPA RAGU – kita tegar berhadapan dengan pelbagai isu yang menguji kredibiliti kita sebagai Pemuda UMNO. Ketika kita sendiri melihat ‘jiran-jiran’ muda yang lain senyap membisu, Pemuda UMNO sahaja yang hanya tampil lantang bersuara.

11. Isu stokin kalimah Allah KK Mart. Isu syarikat judi di sekolah. Isu katak politik. Isu Blackrock. Isu peruntukan SAR. Isu bekalan beras tempatan.

12. Inilah antara isu-isu besar di sepanjang tahun yang lalu, dan sangat dekat dengan orang Melayu, Islam dan rakyat. Pemuda UMNO lah yang menjadi suara lantang untuk memperjuangkannya. Kita lawan, kita serang, kita kritik. Sampai terima ugutan bunuh. Tetapi ini tidak pernah mematahkan semangat kita untuk terus berjuang.

13. Sebab itu, kepada rakan-rakan kepimpinan dan juga kepada semua perwakilan, dari hari pertama saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia lagi saya dah pesan – jalan yang kita pilih ini bukan jalan yang glamor, bukan jalan yang senang, apatah lagi jalan untuk bersuka ria.

14. Jalan ini, kalau jiwa tak kuat, nawaitu tak istiqamah, silap-silap kita ni yang ‘jalan’. Prinsip kita mudah – BERANI KERANA BENAR – ini ungkapan yang TAK SEMUA mampu buat tetapi semua boleh bercakap.

15. Alhamdulillah, berkat izin Allah, di sebalik liku-liku ini, Pemuda UMNO telah menjadi kesayangan orang ramai, khususnya orang Melayu kita. Saya bukan nak syok sendiri, tapi bila ada apa-apa isu yang timbul membabitkan hal negara dan kebajikan rakyat, tentang agama, semua orang menunggu apa Ketua Pemuda UMNO Malaysia nak cakap.

16. Ini semua bukan hasil kerja saya seorang, tetapi adalah hasil ketumbukan kita dari akar umbi, yang menjadikan PEMUDA UMNO MALAYSIA, sebagai suara RAKYAT MALAYSIA. Inilah yang saya katakan tahun lepas, sebagai BRANDING untuk kembali mewujudkan DEMAND. Dan kita lakukan dengan CARA KITA – TANPA TAKUT, TANPA RAGU!

SETAHUAN DALAM KEJIRANAN KERAJAAN PERPADUAN

Para perwakilan sekalian,

17. Bila bercakap perihal CARA KITA, saya kira inilah yang menjadi formula kenapa orang Melayu sudah boleh terima Pemuda UMNO Malaysia.

18. Setahun UMNO tinggal bersama dalam “Kejiranan Kerajaan Perpaduan”. Ini adalah satu pengalaman yang baharu, dan saya yakin ramai di antara kita yang merasakan perubahan ini.

19. Tahun lepas, akar umbi rata-ratanya menzahirkan kerisauan, apakah bila Rumah UMNO berada dalam kejiranan ini, UMNO perlu menjadi pak turut yang dipandir kadukkan.

20. Namun Pemuda beri jaminan ketika itu. Walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda akan pastikan nilai perjuangan kita tidak pernah berubah. Kita tetap teguh mempertahankan hak-hak orang Melayu, Islam, dan kedaulatan raja-raja Melayu.

21. Buktinya – boleh tengok dan nilai sendiri. Berapa banyak kita bertelagah, berbeza pandangan dengan “Jiran-Jiran”. Sampai ada yang kata Dr Akmal Saleh ini bukan “teamwork material”. Nak “teamwork material” macam mana, kalau dah memang mencabar pendirian kita?

22. Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang pesanan yang serupa. Kami Pemuda UMNO Malaysia ini boleh berkawan dan bersahabat dengan sesiapa sahaja. Tapi jika kamu sentuh agama kami, kamu sentuh bangsa kami, kamu sentuh Raja-Raja kami, kami akan bangkit berlawan dan tentang kamu habis-habisan!

23. Pun begitu, perasaan kita juga sama dengan perasaan akar umbi. Kita tidak mahu UMNO terus selesa dengan situasi semasa sebagai “PELENGKAP” kepada Kerajaan Perpaduan. UMNO perlu kembali menjadi Parti Dominan dalam lanskap politik negara. Angka 26 perlu ditingkatkan kembali sehingga menjadi 2/3 Dewan Rakyat. INI BARU LEVEL UMNO!

RUMUSAN PRK NENGGIRI
Sahabat-sahabat perwakilan,

24. Bila bercakap soal kerusi dan angka, secara peribadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua jentera Pemuda UMNO Malaysia yang telah berperang di DUN Nenggiri baru-baru ini.

25. Tahun 2004 kita menang selesa, kemudian pada siri-siri pilihanraya yang seterusnya, kita menerima tamparan dengan undi orang muda yang semakin merosot dan terus terusan merosot,

26. Pun begitu, tanggal 17 Ogos 2024 yang lepas, kita sudah membuktikan, bahawa UMNO bisa kembali bertakhta di hati rakyat terutamanya dalam kalangan undi orang muda. Buktinya di Nenggiri, dari 20 saluran orang muda, 18 kita berjaya tawan! Alhamdulillah.
27. Mungkin ramai pemerhati politik di luar sana menganggap kita hadir ke Nenggiri sebagai underdog. Ramai juga yang mungkin dalam kalangan orang UMNO sendiri yang tidak percaya dengan keupayaan dan kemampuan kita. Maklumlah, kita pergi ke Nenggiri, kawasan kalah, malah Negeri Kelantan itu sendiri merupakan kubu kuat PAS.

28. Tapi kita sebagai Pemuda – kita hadir dengan sebuah kepercayaan penuh tanpa ada sebarang keraguan sekalipun. Kita hadir dengan CARA KITA, berperang untuk menang!

29. Nenggiri ini memberikan semangat baru kepada kita semua, bukan sahaja buat jentera Pemuda, tetapi juga jentera Wanita dan Puteri. Bagi saya, kali ini, kita benar-benar bergerak sebagai sebuah Keluarga UMNO yang besar. Terima kasih buat YAB Dato Seri Presiden atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada kami para pemuda untuk mewakili UMNO di Nenggiri.

30. Inilah sebenarnya, “kerinduan” orang-orang UMNO, juga saya pasti “kerinduan” buat para pengundi untuk kembali memilih UMNO. Sebab itulah kita WAJIB yakin dengan kekuatan kita, percaya dengan kemampuan kita, tak perlu harap bantuan orang lain. Kitalah yang hendak perkuatkan parti kita, BUKAN ORANG LAIN!

31. Nenggiri adalah bukti, bahawa selagi mana UMNO sanggup untuk berubah, kembali berpasak pada fitrah asal usulnya, benar-benar menjiwai roh perjuangannya, UMNO akan kembali disayangi RAKYAT!

32. Nenggiri adalah bukti, betapa RAKYAT masih sayangkan UMNO. Bilamana rakyat nampak kejujuran kita dan rasa keikhlasan kita, di situlah UMNO berada dalam lubuk sanubari rakyat yang terdalam.

33. Atas kejayaan di bumi Nenggiri, dengan penuh yakin dan dengan izin Maha Kuasa, Pemuda bersedia sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk mengemudi PRK Dun Mahkota!

34. Terima kasih sekali lagi buat keseluruhan jentera besar UMNO Malaysia. Hakikatnya, kita memerlukan keberanian yang besar untuk berhadapan dengan musuh kita, tetapi kita juga memerlukan keberanian yang sama besarnya untuk berjuang memenangkan kawan kita. Buat Abe Wi, tahniah tapi mu keno kerjo molek-molek. Jange sio-sio ke usoho keras saing-saing mu ni Wi.

35. Kejayaan Neggiri ini juga mesti dijadikan pedoman buat semua. Buat perwakilan di hadapan saya, mahupun barisan kepimpinan di atas, saya hendak bagitahu, kalau ada impian untuk menjadi calon, kena buktikan dahulu yang anda benar-benar ada “Yang Berkhidmat” material.

36. Pemuda UMNO Malaysia komited hendak melahirkan “Yang Berkhidmat”, bukan sekadar “Yang Berhormat”. Buat para “Yang Berkhidmat”, yang ada dalam pasukan Pemuda UMNO Malaysia ini, saya nak bagi amaran, termasuklah amaran kepada diri saya sendiri, jangan malas, jangan culas, jangan ngelat, jangan berdalih bila nak tolong rakyat. Kalau saya dapat tahu ada wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO ini yang tak buat kerja, jangan mimpi hendak jadi calon untuk PRU16.

37. Atas rasa tanggungjawab ini, saya dengan ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat Pemuda UMNO Malaysia. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Setiausaha Agung Pemuda, saudara Hafiz Ariffin.

38. Tugas Jawatankuasa ini, adalah untuk memastikan setiap wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO, mencapai KPI yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa dari masa ke semasa. Semua akan ada report card, untuk kita semua nilai samada prestasi mereka cemerlang atau sebaliknya.

39. Itu untuk wakil rakyat. Untuk yang berhajat menjadi wakil rakyat pula – Buat Pemuda Bahagian mahupun Cawangan, kita akan melancarkan “Apps” yang boleh dimuat turun oleh semua orang, bukan sahaja ahli parti semata-mata. Menerusi “Apps” ini, orang ramai boleh membuat aduan berhubung permasalahan mereka dan isu-isu yang bersifat lokaliti, dan barisan Pemuda perlu segera tampil membantu menyelesaikan aduan-aduan ini.

40. Di sini yang kita nak betul-betul lihat dan nilai, adakah pemuda-pemuda yang ada dalam dewan ini, benar-benar ada wibawa untuk menjadi “Yang Berkhidmat” atau tidak. Kalau ada aduan di tempat anda semua di dalam “Apps” ini, tetapi tiada respons daripada Pemuda, jangan mimpi, jangan mimpi, jangan mimpi untuk menjadi wakil pemuda UMNO Malaysia. Jelas?

LANGKAH KE HADAPAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
Para Perwakilan,

41. Sebut si peribahasa “membebek kambing lari ke hutan, menyalak anjing lari ke kota”. Dalam berhadapan dengan gegak gempita politik yang huru dan haru, Pemuda UMNO perlu berani untuk bertempik maju.

42. Pemuda UMNO perlu menjadi tunjang ketumbukan suara orang muda. Orang muda yang berada di setiap lapisan kanvas masyarakat mesti dilibat uruskan dalam kolam pemikiran negara.

43. Ketika kita turun berkempen dalam siri-siri PRK samada di Kemaman, Pelangai dan Nenggiri, kita berpeluang untuk bertemu dengan anak-anak muda yang merupakan Generasi Kedua dan Generasi Ketiga FELDA.

44. Dalam pertemuan bersama mereka, hakikatnya terdapat pelbagai isu yang dihadapi oleh mereka, yang memerlukan perhatian serius daripada pihak Kerajaan. Antara isu yang membelungi mereka adalah isu pemilikan dan perwarisan tanah, isu rumah dah siap tapi air dan elektrik tak boleh masuk, isu peluang ekonomi yang sebabkan generasi baharu ini terpaksa pindah ke luar FELDA, dan isu-isu keciciran akademik yang membantutkan potensi mereka.

45. Pemuda UMNO melihat perkara ini sebagai sebuah perkara yang perlu dipandang serius. FELDA lahir dari kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO untuk menyusun semula ekonomi orang Melayu pasca Merdeka. Terlalu besar jasa peneroka-peneroka FELDA kepada negara dan ketika kita sibuk berjuang dengan hal kebajikan anak-anak muda di bandar, jangan kita lupa bahawa anak-anak muda generasi baharu FELDA turut berkongsi denyut nadi yang sama.

46. Atas asbab ini, menunjukkan kita benar benar cakna dan ambil berat anak-anak FELDA, Pemuda menubuhkan sebuah Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO FELDA. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh YB Aznan Tanim, dan digerakkan oleh semua cawangan Pemuda UMNO yang ada di setiap FELDA.

47. Oleh itu, kepada YB Aznan, saya bagi tempoh ENAM (6) BULAN dari sekarang, untuk menggerakkan keseluruhan jentera Pemuda UMNO di setiap FELDA, bagi mengumpul isu-isu yang dibangkitkan oleh generasi baharu FELDA, dan semuanya akan kita himpunkan di dalam Konvensyen Pemuda UMNO Felda pada penghujung tempoh 6 bulan ini.

48. Menerusi Konvensyen ini, kita akan duduk berbincang dan hasilkan resolusi-resolusi untuk diserahkan kepada pihak Kerajaan, pihak FELDA dan agensi-agensi pemegang taruh yang berkaitan. End game kita, kita mahukan kepentingan generasi baharu FELDA ini terbela dan seterusnya dapat memaksimumkan potensi mereka. Dan kalau resolusi-resolusi ini tidak dilayan, kita akan bangkit bersuara dengan skala yang lebih besar.

Sidang perwakilan,

49. Bercakap perihal memaksimumkan potensi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YAB Dato Seri Presiden, kerana telah mengangkat Pendidikan TVET ke suatu aras yang lebih baik. Jika sebelum ini pendidikan TVET dilihat lesu, namun atas usaha murni YAB Dato Seri Presiden, TVET diangkat menjadi pilihan pendidikan utama.

50. Jujurnya, secara peribadi, saya melihat pemerkasaan Pendidikan TVET kini lebih segar di bawah seliaan YAB Dato Seri Presiden. Kami dari Pemuda UMNO Malaysia juga ingin menzahirkan penghargaan terima kasih kepada YAB Dato Seri Presiden yang telah memberikan penghargaan yang tinggi dengan 2 wakil Pemuda UMNO untuk berada di dalam Majlis TVET Negara.

51. Ini merupakan sebuah penghormatan kepada kami, dan kami akan menggunakan kesempatan ini untuk bersama-sama terlibat dengan pemegang-pemegang taruh yang lain, dalam usaha menjadikan Pendidikan TVET dipilih oleh anak-anak muda di luar sana.

52. Kita perlu menginsafi, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, pasaran kerja yang agak terhad, serta sumber dunia yang semakin defisit, Pendidikan TVET harus diteroka dan dimaksimumkan potensinya, untuk membolehkan ia menjadi jalan keluar buat anak-anak muda yang terperangkap di dalam ‘buih kos sara hidup’ yang semakin menekan tika ini.

53. Sudah banyak contoh kejayaan Pendidikan TVET di luar negara seperti German dan China, dan kami dari Pemuda UMNO Malaysia, bersedia untuk menjelajah ke seluruh pelusuk negara bagi mempromosi Pendidikan TVET serta menjadi pemudahcara untuk anak-anak muda mendaftarkan diri mereka dalam institusi Pendidikan yang menawarkan program TVET.

54. Pemuda UMNO tidak hanya mahu menjadi jaguh di pentas politik semata-mata, tetapi juga mahu menjadi sebuah entiti profesional yang boleh membantu ke arah pembinaan negara.

DOMINASI MEDAN PERANG DIGITAL

Sahabat-sahabat Pemuda yang setia,

55. Kita perlu menginsafi, di sebalik kelemahan yang ada pada diri kita, kita juga tewas dalam PRU14 dan PRU15 yang lalu adalah kerana kegagalan kita menguruskan perang persepsi.

56. Politik adalah soal persepsi. Dan persepsi ini boleh dicipta menerusi pelbagai cara termasuklah fitnah jahat dan kata-kata yang membinasakan.

57. Saya tahu, ramai dalam kalangan kita sudah bekerja kuat, berjuang bersungguh-sungguh, tetapi akhirnya kita tewas juga. Sehinggakan kita sendiri bertanya – di mana silapnya?

58. Kegagalan kita untuk mendominasi ‘Medan Perang Digital’ iaitu platform media sosial, boleh menghadirkan igauan yang sama pada PRU16 mahupun pada PRN Sabah nanti.

59. Hari ini, platform media sosial terutamanya IG dan TikTok sudah menjadi kitab untuk rakyat tahu perihal negara. Pincangnya langkah kita di situ, maka hilanglah kita ditanam fitnah beribu. Saya sebenarnya bangga, kadang-kadang bila saya lihat komen-komen di media sosial, saya terharu bila melihat pemuda-pemuda di akar umbi, tanpa jemu dan lelah, terus melawan fitnah-fitnah jahat pembangkang.

60. Pemuda- pemuda akar umbi ini bukannya orang yang dibayar sebagai cybertrooper seperti pembangkang, tiada gaji, tiada ganjaran, tapi mereka berperang kerana mereka percaya apa yang betul, apa yang salah.

61. Atas sebab inilah, Pemuda WAJIB mendominasi platform media sosial. Siapa lagi yang layak untuk menggalas tanggungjawab ini untuk UMNO – berperang di medan orang muda, kalau bukan kita sendiri?

62. Kita dah ada bukti, tengok sendiri YB Helmy, ADUN Duyong. Tengok juga YB Mawi yang dah bekerja sejak 4-5 tahun yang lepas di Nenggiri. Hasil kebijaksanaan mendominasi media sosial, rakyat nampak usaha dan kerja-kerja kita. Inilah pentingnya untuk kita mendominasi medan perang digital. Tengok komen ni, ada yang sampai minta YB Helmy ni jadi wakil rakyat di kawasan mereka. Inilah bukti, bila kita buat kerja, kita kuasai media sosial, rakyat nampak dan rakyat sendiri boleh menilai.

63. Kerana dulu kita dibunuh dengan fitnah-fitnah jahat – pemimpin kita digambarkan sebagai malas, kotor dan korup, sedangkan seluruh ketumbukan parti ini bekerja dengan ikhlas, hanya mahukan yang terbaik buat bangsa, agama dan negara. Sebab itulah, fitnah ini hanya boleh dibenamkan dengan cara kita mendominasi media sosial.

64. Sebenarnya dalam UMNO, ada ramai lagi para pemimpin yang bagus-bagus. Yang bekerja tanpa penat, tolong rakyat dan bangunkan Kawasan. Ini yang sepatutnya DITONJOLKAN kepada rakyat.

65. Kita guna media sosial untuk jelaskan dasar, untuk jawab tohmahan, untuk serang salah laku pembangkang – inilah yang Pemuda WAJIB juarai.

66. Pemuda perlu aktif, bukan sekadar menjadi pembaca. Kalau hal media sosial ini, saya nak minta adik-adik Mahasiswa, untuk sama-sama bantu parti kita, lawan dan kuasai media sosial ini.

67. Juga buat Kelab UMNO Luar Negara, saya seru untuk sama-sama bantu perkasakan jentera digital kita. Anda semua berada di seluruh dunia, dengan waktu yang berbeza-beza, kalau ikut logik, UMNO TIDAK PERNAH TIDUR! Kalaulah pukul 12 malam di Malaysia, di London baru pukul 5 petang, di Moscow baru pukul 8pm. Terus kuasai media sosial ini, inilah halatuju UMNO bagi mendepani musuh-musuh kita menjelang PRU16 mahupun PRN Sabah!

PENYATUAN MELAYU MERENTASI SEMPADAN POLITIK (PEMUDA UMNO TUNJANG UTAMA PENYATUAN MELAYU)

Sidang perwakilan,

68. Kita terlibat dalam gelanggang politik ini adalah pilihan kita sendiri. Kita mahu berkhidmat kepada rakyat, bantu orang susah, bawa agenda bangsa, agama dan negara.

69. Secara peribadi, saya memilih untuk bersama parti UMNO adalah kerana saya percaya, betapa UMNO adalah sebuah parti yang sangat-sangat memahami roh perjuangan untuk orang Melayu.

70. Atas didikan Rumah UMNO inilah, Pemuda UMNO yakin – permasalahan orang-orang Melayu hanya boleh diselesaikan menerusi kesepakatan orang-orang Melayu sendiri. Adalah menjadi kerugian yang besar, sekiranya kaum majoriti di negara ini dihimpit permasalahan yang gagal diselesaikan menerusi kesepakatan parti-parti politik.

71. Hari ini, saya hendak berpesan kepada orang-orang politik, baik dalam UMNO mahupun di luar UMNO – khususnya ahli politik Melayu : SUDAH-SUDAHLAH BERTELAGAH YANG AKHIRNYA BUAT MELAYU PECAH BELAH.

72. Hakikatnya, orang Melayu sudah bosan dan jemu dengan skrip lama dalam dunia politik Melayu. Bila tak setuju, lari buat parti baharu. Bila tak sekepala, tikam sana, lompat sini. Bila yang bawah bagi teguran, kena cop khianat dan kuat melawan.

73. Selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya menyeru agar semua ahli politk Melayu, buang ego masing-masing. Kerana dalam soal permasalahan orang Melayu, kita berhadapan dengan isu yang lebih besar dan menekan.

74. Dalam isu ekonomi, kadar kemiskinan tegar di Malaysia mencatatkan masyarakat Melayu Bumiputera di kedudukan tertinggi iaitu 7.2%. Penguasaan korporat Bumiputera di Bursa Malaysia hanya 7%. Dalam pasaran ekuiti pula, pegangan Bumiputera kurang dari 20%.

75. Kemudian, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia, setakat tahun 2020, sebanyak 69.7% jumlah banduan adalah terdiri daripada Melayu dan Bumiputera. Belum lagi dihitung dalam isu pengangguran, keciciran pendidikan, pemilikan rumah – yang kita semua maklum, tanpa statistik dan angka sekalipun, kita tahu di mana kedudukan orang Melayu kita. Apatah lagi dala bidang politik yang memaksa kita bersaing pula sesama Melayu

76. Permasalahan yang saya nyatakan tadi bukan masalah untuk difikirkan oleh UMNO sahaja, tetapi juga masalah yang perlu difikirkan oleh orang Melayu dalam PKR, orang Melayu dalam PAS, orang Melayu dalam AMANAH, orang Melayu dalam BERSATU, bahkan juga orang Melayu dalam DAP.

77. Rumah UMNO ini, sudah banyak menjadi saksi penyatuan orang Melayu. Ada yang bertelagah, rumah UMNO inilah tempat kembali bermuhasabah. Ada yang merajuk, rumah UMNO inilah tempat kembali berpujuk. Ada yang marah, kecewa dan geram, tetapi tradisi rumah UMNO ini bukannya menyimpan dendam.

78. Kita boleh berbeza pendapat dalam berpolitik, tetapi dalam mencari jawapan kepada permasalah Melayu, Islam dan Raja-Raja, ayuh, bersatulah.

79. Atas kesedaran ini, Pemuda UMNO menghulurkan tangan untuk mengajak ahli-ahli politik Melayu dari setiap parti politik, untuk sama-sama bergerak ke arah Penyatuan Melayu ini.

UMNO TERAJU NEGARA

Sahabat-sahabat semua,

80. Di akhir ucapan dasar ini, saya ingin tegaskan dan akan terus menegaskan – UMNO bukanlah parti picisan atau parti sidekick. UMNO punya sejarah yang gemilang. Bukan calang-calang yang UMNO berikan kepada tanah air ini, tetapi sebuah kedaulatan yang lahir dari perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.

81. Hakikatnya, tiada apa yang lebih sesuai untuk UMNO selain dari menjadi Parti Tunjang Utama negara ini. Andai perlu bergabung sekalipun, UMNO WAJIB MENUNJANGI POLITIK NEGARA! Ini CITA-CITA Pemuda UMNO yang takkan pernah padam dan terhenti. Segala usaha daya kita adalah untuk memastikan CITA-CITA ini tercapai.

Penutup

Buat Saudara –saudara pemudaku

Saya yakin dan pasti,
dalam diri Pemuda, ada satu tekad.
Tekad yang membara,
mengalir bersama darah dan keringat.

Wahai saudara Pemuda ku

Ayuh kita bangun, bangun, dan bangunnn!

Kita kenang kembali setahun yang lalu
Kita dituduh penderhaka, betul atau tidak?
Kita dituduh tidak setia, betul atau tidak?
Kita dimaki, dicaci, ditohmah tanpa henti, ingat atau tidak?

Ingat semula PEMUDA-PEMUDA ku,
Saat kita tidak diperduli
Saat kita dipandang sepi
Saat kita disekat dan dihalang

Kita terus bangun bangkit melawan!
Kita terus bangun bangkit berjalan!
Kita terus bangun bangkit berjuang!

ALHAMDULILLAH,
ALLAH BERIKAN KITA NENGGIRI,

NENGGIRI ADALAH BUKTI, KITA MAMPU KEMBALI
NENGGIRI ADALAH BUKTI, KITA PANTANG BERHENTI
TAPI INGAT!
JANGAN SOMBONG,
JANGAN LUPA DIRI

Kita akan terus berjuang.
Selagi ada nafas,
selagi ada kudrat,
kita tidak akan berhenti.

Ini janji seorang PEMUDA,
ini janji untuk kita MASIH DI SINI.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit