PAU 2024: Tumpu Generasi ‘Z’, Aplikasi Pendekatan Media Sosial

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Generasi ‘Z’ ataupun kumpulan mereka yang berumur 18 tahun yang automatik menjadi pengundi merupakan kumpulan baharu yang perlu didekati, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros.

Katanya, pendekatan paling efektif dan berkesan adalah melalui sosial media dan sudah tentu UMNO perlu selari dengan kefahaman apa yang mereka mahukan.

“Generasi ‘Z’ adalah antara kelompok utama dan penting. Saban hari semakin bertambah dan sudah tentu ia akan memberi impak kepada keputusan pilihan raya.

“Sayap-sayap kena memikirkan dan bertindak secara lebih serius serta berstruktur menggunakan teknologi media sosial bagi mendapatkan sokongan dan menjual cerita tentang UMNO ini kepada mereka.

“Kita tidak boleh gunakan pendekatan lama, harus pastikan pendekatan dan strategi lebih berkesan, relevan dan selari dengan arus peredaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam tadi.

Azleen harap perwakilan sayap-sayap UMNO perlu ambil perhatian serius serta mencadangkan agar perwakilan dan pembahas mengemukan cadangan yang relevan dan memastikan dapat diterjemahkan.

“Saya mengharapkan perkara sebegini diambil perhatian oleh perwakilan dan juga pembahas dalam sayap Pemuda UMNO untuk mengemukakan cadangan dan pastikan cara ini boleh lakukan dan terjemahkan dalam bentuk tindakan,” ujarnya.

Perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 Ogos pukul 8 malam dan hari ini diadakan persidangan sayap UMNO.

Perwakilan yang hadir pada mesyuarat sayap-sayap seramai 3,494 yang terdiri dari 1,171 perwakilan akan hadir Perhimpunan Agung Wanita UMNO; Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ( 1,173) dan Perhimpunan Agung Puteri UMNO (1,150).

Perhimpunan ini melibatkan sebanyak 6,433 perwakilan akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos dan 24 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit