PAU 2024: Perhatian Presiden Terhadap UMNO Sabah Dihargai, Suntik Semangat Perjuangan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Seperti kata pepatah, ‘kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan’, itulah ungkapan yang mampu diucapkan oleh UMNO Sabah atas kesungguhan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan tumpuan bagi membantu UMNO Sabah untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Beauforf, Datuk Awang Aslee Lakat berkata kenyataan Presiden ketika berucap dalam Majlis Taklimat Presiden semalam untuk mengarahkan agar UMNO dari bahagian-bahagian di seluruh Semenanjung Malaysia membantu menghadapi PRN merupakan nadi semangat untuk UMNO Sabah meneruskan perjuangan.

“Sikap cakna Presiden merupakan pendorong semangat bagi kami di UMNO Sabah untuk terus berjuang.

“Sesungguhnya kami amat menghargainya kerana ini adalah lambang rasa tanggungjawab beliau (Ahmad Zahid) sebagai Presiden parti khususnya di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas berkaitan Taklimat Presiden, semalam.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan dan PRK DUN Mahkota di Johor, tumpuan akan beralih ke Sabah bagi membantu UMNO Sabah menghadapi PRN.

Awang Aslee yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Beauforf berkata, saranan Presiden itu merupakan satu usaha menerapkan budaya kerja berpasukan yang menjadi kekuatan UMNO untuk berhadapan dengan cabaran dan ia juga tonggak utama kejayaan parti.

“UMNO Sabah akan terus berkerja keras dengan menjadikan kemenangan BN dalam PRK Nenggiri baru-baru ini sebagai obor semangat perjuangan,” katanya.

Menurut Awang Aslee tanpa memikirkan parti mana yang menjadi gabungan UMNO berhadapan dengan PRN kali ini, ia tidak akan menggangu fokus utama parti untuk terus bekerja mendekati rakyat.

“Soal kerjasama dengan parti gabungan mana yang akan bekerja sama dengan UMNO, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana yang penting kita terus fokus memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan mengatur gerak kerja serta strategi untuk mencapai kemenangan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.