PAU 2024: Kekuatan UMNO Bergantung Kepada Budaya Kerja Berpasukan – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kekuatan parti amat bergantung kepada budaya kerja berpasukan bukannya bergantung kepada individu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata budaya berjemaah merupakan kunci segala-segalanya yang perlu diterapkan kepada anggota parti.

“Kekuatan UMNO bukan kekuatan individu. Kekuatan UMNO adalah kekuatan budaya kerja berpasukan dan jika ini menjadi amalan institusi parti akan kukuh dan bila berhadapan dengan pilihanraya insyallah kita mencapai kejayaan” katanya.

Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis Amanat Presiden kepada perwakilan UMNO, semalam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Katanya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya semasa Taklimat Presiden memuji dan menghargai perananan serta kesungguhan jentera parti berkempen bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK Nenggiri baru-baru ini.

“Kepimpinan tertinggi UMNO, ketua-ketua UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri telah memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan misi kemenangan pada PRK kali ini,” katanya.

Menurut Mohd Rafi dalam apa jua keadaan pentingnya kesatuan, kerjasama, dan kerja keras sebagai usaha mencapai kejayaan bagi memastikan UMNO hari ini terus mengorak langkah ke depan.

“Selain semangat kerja berpasukan, pendekatan serta strategi yang tepat dan penggunaan media sosial juga turut membantu kejayaaan BN pada PRK DUN Nenggiri,” katanya.

Tambah Mohd Rafi pemimpin dan ahli parti perlu fokus pada masa depan, semangat baharu, dan kerja keras adalah kunci untuk mengembalikan mandat rakyat dan memastikan kejayaan politik yang berterusan.

“Jadi sekarang ini kita tidak perlu lagi bernostalgia dengan kisah lama, sebaiknya kita bersama-sama bergerak ke depan.

“Nostalgia dan sejarah mungkin boleh menjadi sempadan kepada kita dan kita sama-sama pandang ke hadapan, dan kita buka buku baru serta semangat baharu, dan semangat ini perlulah dizahirkan dari segiperkhidmatan kepada rakyat bagi mengembalikan keyakinan mereka terhadap UMNO,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit