PAU 2024 Jadi Harapan Dan Aspirasi Ahli UMNO Untuk Bangkit Kembali

KUALA LUMPUR, 22 OGOS – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli sama ada dari akar umbi, kepimpinan parti UMNO sehingga ke penyokong parti yang sentiasa memperjuangkan parti ini demi kebajikan rakyat.

Tinjauan UMNO-Online mendapati rata-rata dari kalangan perwakilan merasa amat teruja dan bersemangat kerana dapat menghadiri PAU 2024.

Bagi Bendahari Puteri UMNO Bahagian Labuan, Nurdieya Farhana Zarina Suhaili, merasa sangat teruja pada PAU ini dan harap parti terus bangkit kembali.

“Saya sangat teruja kehadiran pada PAU 2024 dan harap perhimpunan ini dapat membangkitkan kembali kemenangan dan perjuangan parti.

“Kita harus berkerja dengan satu pasukan dan menyakinkan bahawa UMNO ini adalah satu wadah rakyat Malaysia dan bukan saja orang Melayu malah parti ini perlu dilihat lebih hebat kepada kaum lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Noraieni Ali berharap semua perwakilan mendengar dan menghayati amanat yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Saya mengharapkan semua perwakilan UMNO dapat mendengar amanat dan nasihat yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan segala amanatnya dapat disampaikan pada akar umbi.

“Dengan kemenangan PRK DUN Nenggiri baru-baru ini sudah pasti momentum kebangkitan UMNO akan terus membara di DUN Mahkota, sebagai Ketua UMNO Wanita Wangsa Maju mohon legasi DUN Mahkota ini diteruskan oleh Wanita UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Mohd Syukri Roslan percaya sokongan yang diberikan oleh akar umbi parti semakin meningkat selepas kemenangan pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

“Saya percaya sokongan yang diberikan akar umbi parti dan rakyat semakin meningkat. Ini jelas terbukti selepas kemenangan PRK DUN Nenggiri dan momentum ini akan dibawa pada PAU. Saya harap momentum ini akan terus dibawa pada pilihan raya lain

“Amanat-amanat yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO dapat dipanjangkan serta diimplitasi ke seluruh bahagian-bahagian dan akan bangkit dengan gelombang yang sama,” jelasnya.

Sementara itu bagi Penolong Setiausaha Puteri UMNO Bahagian Jelebu, Nor Syahira Ariff, yakin anak muda akan terus bangkit dan berjuang bersama UMNO.

“Sebagai perwakilan anak muda merasa yakin, gembira serta kagum pada PAU 2024 ini serta dapat membawa balik semangat-semangat ini ke bahagian masing-masing dan harap anak-anak muda sentiasa perjuangkan parti ini serta membawa semangat anak muda,” ujarnya.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit