Noor Marry Seru Fokus Pembangunan Wanita UMNO Di Peringkat Cawangan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pembahas Usul dari Wanita UMNO, Noor Marry Abd Karim mencadangkan agar Wanita UMNO di peringkat cawangan harus menjadi fokus utama dalam pemulihan parti.

Katanya, ia amat menyedihkan sekiranya cawangan-cawangan UMNO diabaikan dan seharusnya perlu menjadi perhatian sepenuhnya dari kepimpinan.

“Ini adalah suatu realiti yang sangat menyedihkan, dari itu mencadangkan pergerakan wanita di peringkat cawangan perlu menjadi ‘focal point’ dalam pemulihan UMNO.

“Cawangan umpama ‘punca mata air di hulu dan mengalir ke muara’… kalau keroh air di hulu maka akan kerohlah air di muara. Prasarana wanita UMNO cawangan perlu diberikan insentif dari segi fizikal, mental dan spiritual kerana wanita adalah tulang belakang parti yang sentiasa setia dari dulu kini dan selamanya.

“Berilah nafas baru kepada mereka, jangan biarkan cawangan lemah longlai umpama ‘hidup segan mati tak mahu’. Mereka sebenarnya ‘frontliner’ yang berdepan dengan pengundi. Merekalah yang berinteraksi setiap hari dengan pengundi dan merekalah agen kepada pemulihan mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Datuk Lokman Nor Adam; mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu berkata UMNO memiliki banyak produk yang hebat semenjak penubuhannya hingga kini.

“UMNO memiliki banyak produk, bermula dari sebelum kemerdekaan, di awal kemerdekaan dan sehingga kini. Bermula dari kekuatan ideologinya hinggalah kepada rekod membangunkan negara dan bangsa.

“Kenapa UMNO yang sarat dengan budi dan jasa ini terlindung jasanya di mata rakyat. Adakah ini adalah kerana permainan persepsi pembangkang? Kalau ada kenapa kita tidak mampu melawan dengan hujah serta memahamkan tentang rekod jasa dan bakti UMNO kepada rakyat,” jelasnya.

Seterusnya beliau harap pengundi-pengundi muda harus dijaga kerana mereka adalah pengundi pada pilihan raya akan datang.

“Pengundi muda perlu dilayan…. anak muda yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM tahun ini adalah pengundi dalam PRU-16 nanti. Program anak muda perlu digerakkan dan diselaraskan ke seluruh negara dan ini adalah ‘market’ di kalangan mereka.

“Program seperti seminar SPM atau seminar STPM di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara eloklah kita jadikan sasaran kepada kerja-kerja untuk meluaskan pengaruh UMNO,’ ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.