Lanjutkan Usia Keahlian Puteri UMNO Untuk Lebih Dinamik – Norshaidatul

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan usul melanjutkan usia keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun untuk dilaksanakan dengan segera, kata Exconya Norshaidatul Akhmar Sharudin.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan berkata ini kerana lingkungan usia tersebut adalah dekat dengan keperibadian Puteri UMNO malah 30-an adalah lonjakan usia kematangan dalam menilai kehidupan namun masih selari dengan ideologi wanita muda.

“Usia 30-an bukannya tua pun, malah kita lebih terbuka dalam menilai dan Puteri juga memerlukan nasihat daripada senior-senior kami yang lebih berpengalaman menguruskan parti dan berkomunikasi.

“Selain daripada itu, variasi umur dalam Puteri juga akan menjadikan Puteri lebih dinamik sebagai sebuah organisasi.

“Dengan itu, sekali lagi, saya kekal mencadangkan agar usia keahlian Puteri UMNO dilanjutkan kepada 40 tahun,” katanya sebagai pencadang kepada ucapan dasar ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka hari ini.

Sementara itu EXCO Puteri UMNO Malaysia, merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai Nor Akmal Muhammad yang merupakan penyokong menyentuh berkenaan peranan Majlis Ulama UMNO (MUU) yang amat besar dalam memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara diperjuang UMNO.

Bukan itu sahaja, katanya lagi MUU sebagai platform memberi teguran dan nasihat serta pandangan kepada kerajaan dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara sebagaimana perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun kata beliau dengan adanya ajaran-ajaran sesat dan fahaman agama melampau pada masa kini memberi ancaman kepada rakyat dan juga negara.

“Perpaduan ummah serta hubungan antara kaum sentiasa diuji dan dicabar oleh segelintir kelompok dan individu yang menjadikan agama sebagai modal politik murahan mereka.

“Lihat sahaja apa yang telah berlaku di negeri saya Johor Darul Ta’zim baru-baru ini. Tragedi serangan Balai Polis Ulu Tiram dan membawa kepada pembunuhan dua anggota polis yang terkorban akibat daripada fahaman ekstremis dan ajaran-ajaran yang menyalahi nilai serta ajaran Islam yang sebenar.

“Saya ingin bertanya kepada semua perwakilan Puteri yang hadir adakah anda semua mahu tragedi tragis seperti ini berlaku kepada ahli keluarga dan juga saudara-mara anda? Sudah pasti tiada sesiapapun yang inginkan pertumpahan darah berlaku di negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Oleh yang demikian peranan dan fungsi badan atau organisasi agama Islam seperti Majlis Ulama UMNO ini yang diyakini kredibilitinya adalah amat penting diberi pengiktirafan oleh semua ahli-ahli UMNO serta masyarakat sepertimana ucapan dasar oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit