Kita Perlu Lihat Dan Sedia Adaptasi Suasana Baharu – Wan Muhammad Zuhir

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kisah budak sekolah yang diberikan surat amaran kerana gara-gara datang lambat ke sekolah dijadikan analogi oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali bagi menggambarkan perjuangan parti yang perlu mengikut peredaran masa.

Menurut beliau pelajar berkenaan adalah seorang yang cemerlang dan kebiasaannya rutin harian beliau adalah masuk sekolah pada pukul 1.00 tengahari dan balik pada pukul 7.00 petang.

“Sebelum saya pergi dengan lebih lanjut. Saya nak bawa kita semua kepada satu analogi seorang budak sekolah. Budak ini datangnya dari sekolah harian. Biasa masuk sekolah pukul 1 petang, balik pukul 7 petang. Hingga ke tingkatan 3 dia melalui rutin ini. Prestasi dia cemerlang dalam belajar.

“Tapi, bila dah masuk tingkatan 4. Dia kena hantar surat amaran. Cuba teka kenapa?  Sebab dia selalu datang lewat ke sekolah. Masuk tingkatan 4, jadual dia dah berbeza kena pergi sekolah pukul 8 pagi.

“Tapi sebab dah terbiasa dengan rutin lama, jadual dia jadi kacau. Prestasi juga jadi tak tentu hala. Soalan kat sini… adakah budak ini tak bagus atau dia gagal nak beradaptasi dengan keadaan baru. Begitulah juga dengan kita. Kita bukan kehilangan taring. Tapi kerana kita gagal untuk beradaptasi dengan keadaan baru. Kita perlukan ‘shift of routine’. Kerana rutin ini kita mesti dan terpaksa berubah mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membawa usul menyokong ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, pada Perhimpunan Agung pergerakan itu, di sini, hari ini.

Atas dasar itulah tambahnya zaman ini memerlukan semua pihak beradaptasi dengan dunia yang serba cepat dan tanpa hijab selain tindakan yang diambil juga mesti selari dengan perangai dan kehendak rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit