Kerajaan Perlu Beri Perhatian Kepada Perkembangan STEM – Puteri UMNO Perak

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak, Sarah Syazwani Saari berharap kerajaan memberi perhatian kepada perkembangan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau ini kerana perkembangan pendidikan ini dilihat penting dalam menyokong dasar negara berkaitan sains, teknologi dan inovasi.

“Kita selalu memfokuskan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tetapi jangan lupa dengan perkembangan STEM.

“Dalam konteks pendidikan STEM di Malaysia, kita menghadapi beberapa isu dan cabaran yang ketara. Salah satu isu utama adalah kekurangan sumber dan infrastruktur yang mencukupi di sekolah-sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar dan miskin.

“Banyak sekolah tidak mempunyai makmal sains yang lengkap atau peralatan teknologi moden yang diperlukan untuk memberikan pengalaman praktikal yang berkualiti kepada pelajar,” katanya sebagai pembahas kepada ucapan dasar ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka hari ini.

Lebih memberikan kesan, kata beliau apabila kekurangan latihan dan profesionalisme dalam kalangan guru dalam bidang STEM mengakibatkan pengajaran yang kurang berkesan, yang akhirnya mempengaruhi minat dan pencapaian pelajar dalam bidang ini.

Sarah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Parit berkata, langkah kolektif perlu dilakukan bagi memastikan masalah ini ditangani segera agar pendidikan STEM di Malaysia tidak ketinggalan dan mampu bersaing di peringkat global.

“Penekanan yang tidak mencukupi terhadap kepelbagaian dan inklusi dalam pendidikan STEM boleh menghalang potensi inovasi dan perkembangan dalam sektor ini.

“Untuk mengatasi masalah ini, usaha perlu dilakukan untuk memupuk minat dan memberikan sokongan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengira jantina, serta memastikan kurikulum STEM sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit