Kebersamaan Keluarga UMNO Terlakar Dalam PAU 2024 – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang membuka tirainya semalam adalah bukti kebersamaam UMNO sebagai sebuah keluarga besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, acara tahunan UMNO ini adalah antara kebanggaan kepada parti lantaran anggotanya dari pelbagai lapisan, pelbagai peringkat usia dan dari seluruh pelusuk tanah air dapat berkumpul bersama-sama.

“Ini adalah sesuatu yang amat membanggakan buat UMNO selepas minggu lalu kita mendapat kejayaan dalam PRK di Nenggiri dan hari ini dapat kembali berkumpul dalam PAU 2024 dengan suasana yang sangat harmoni, penuh rukun dan tertib dalam persidangan.

“Apa yang saya dapat lihat, rata-rata para perwakilan dan pendukung parti yang datang begitu teruja sebagaimana saya sendiri yang amat berbesar hati dapat bersama-sama dalam perhimpunan besar bangsa Melayu, mendengar Taklimat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang penuh dengan tekad dan ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Alhamdulillah, pagi tadi ketua-ketua Wanita, Pemuda dan Puteri juga bersemangat menyampaikan ucapan dasarnya yang tentunya ke arah membawa kita semua kepada matlamat untuk terus memperkukuh UMNO dan menjadikan parti ini kembali dominan,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Zaidy juga menganggap bahawa PAU 2024 ini ibarat pembakar semangat untuk anggota parti meneruskan gerak kerja memperkukuh UMNO.

“Kita terus berkerja, berkhidmat dan melaksanakan amanah parti sebagaimana menjayakan PAU 2024 ini. Waalupun kita ceria dan gembira namun kita harus terus beringat agar tidak terbuai dengan kejayaan sebaliknya sentiasa fokus kepada usaha untuk sentiasa menang.

“Seperti mana kata Presiden, selepas menang di PRK Nenggiri, maka kita mahu menang di DUN Mahkota bulan depan, kemudiannya menang di PRN Sabah nanti dan insya-Allah akan menang dalam apa-apa saja yang kita lakukan hinggalah ke PRU ke-17,” katanya lagi.

PAU 2024 berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos selepas lancarnya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai 2024 lalu. Sebelum itu persidangan UMNO Cawangan-Cawangan telah diadakan pada 22 April hingga 2 Jun. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.