Keberadaan UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan Demi Manfaat Rakyat – Noraini Ahmad
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk manfaat dan kepentingan rakyat, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Jelasnya, sebagai pemimpin dari pelbagai peringkat yang mendukungi parti, semua perlu menjelaskan keberadaan UMNO itu dan terbukti banyak usaha serta inisiatif yang positif telah dilaksanakan.
“Sebagai pemimpin kita perlu sama-sama melupuskan persepsi bukan sahaja di kalangan kita tetapi melibatkan peringkat akar umbi. Kita perlukan sampaikan kepada rakyat di luar sana bahawa Kerajaan Perpaduan ini adalah manfaat semua.
“Komunikasi antara kita jangan terputus dan perlu sebarkan perkara-perkara positif, inisiatif yang telah dilaksanakan, banyak perkara yang dilaksanakan dan juga banyak perkara yang boleh dilaksanakan secara berhemah dan boleh menetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) dari segi hebahan.
“Kesepaduan pucuk pimpinan dari akar umbi hingga peringkat atasan perlu bersatu padu. Tunjukkan pada semua yang kita ini adalah jitu. Paling penting adalah menyakinkan rakyat di luar sana supaya mereka terus percaya kepada parti UMNO,” katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Datuk Mohd Rafii Alli Hasan; Datuk Lokman Nor Adam; mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu lagi, sokongan dan kepercayaan rakyat diperlukan dalam terus mendepani masa depan parti.
“Tanpa sokongan rakyat sebenarnya kita bukannya sesiapa dan mungkin tidak ada di sini, kepada siapa lagi yang hendak beri kepercayaan jika bukan kepada rakyat yang menilai kepimpinan kita dan bangkitkan semangat kesetiakawan dalam kalangan pengikut kita.
“Pemimpin jitu rakyat akan yakin dan percaya, nescaya di penghujungnya nanti akan menyuburkan perpaduan negara. Ketaatan ini sangat penting iaitu kepatuhan, sumpah setia terutamanya pada parti UMNO dan sebenarnya boleh, tidak bercanggah dengan hukum agama,” katanya lagi.
Justeru katanya lagi, taat dan takwa kepada Allah SWT, taat dan janji pada sumpah, taat pada musyawarah, memelihara maruah, membela bangsa dan negara dan inilah sebenarnya resepi dan tanggungjawab kita.
Pada masa yang sama Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berharap agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diberikan kepada calon Wanita UMNO.
“Kerusi DUN Mahkota sangat penting untuk kekalkan dan legasi harus dipertahankan. Kita tidak ketandusan calon wanita dan masa yang sama menzahirkan penghargaan pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan negeri Johor yang mendengar suara wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Calon Wanita UMNO sentiasa menjadi calon yang ‘luar biasa’ dan fokus berkerja. Sebagai contoh, tiga DUN sebelum ini kalah dan apabila diletakkan calon Wanita UMNO dan menang ketiga-tiga DUN tersebut… kita berkerja siang dan malam.
“Kita memang mahukan kemenangan di DUN Mahkota dan menuntut agar kerusi DUN Mahkota dan calonnya tetap diberikan kepada wanita UMNO. Insya-Allah… Wanita UMNO akan terus berkerja kuat dan percaya semuanya akan turun padang dan akan jadikan kemenangan di DUN Nenggiri sebagai pencetus semangat dan pastikan calon UMNO/BN menang di DUN Mahkota,” ujarnya. – UMNO Online