Gamit Semula Sokongan Rakyat… UMNO/BN Harus Guna ‘Pemikiran Tanpa Kotak’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Untuk menggamit semula sokongan rakyat terhadap parti, UMNO/Barisan Nasional (BN) harus menggunakan ‘pemikiran tanpa kotak’, kata Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, semua pemimpin dan jentera mesti berubah untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan memanfaatkan media sosial.

“Dalam situasi sekarang ini kita serba kekurangan. Kurang dari segi kerusi dan pada hakikatnya kita tinggal 26 kerusi di Parlimen. Empat lagi itu daripada komponen kita, BN.

“Soalnya bagaimana kita mahu menggamit semula sokongan rakyat? Saya sebutkan dalam Taklimat Presiden semalam bahawa kita tidak boleh terjebak dalam pendekatan konvensional yang lama.

“Kita mesti berubah. Kita mesti keluar ke pemikiran tanpa kotak, bukan hanya berfikir di luar kotak. Itulah sebabnya saya memahami ucapan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) malam tadi ketika merasmikan persidangan sayap bahawa beliau mahu parti bergerak ke arah menggunakan sistem digital dalam berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Tengahari Kelab UMNO Luar Negara bersama Presiden, sebentar tadi.

Menurutnya, 52 peratus daripada jumlah pengundi di negara ini adalah dari golongan anak muda yang berumur 18 sehingga 40 tahun.

“Ini termasuk saudara-saudari yang berada di kampus, dalam dan luar negara harus menggunakan medium serta saluran ini sebagai kaedah terbaru untuk kita mendekati rakyat.

“Terutamanya di kalangan rakan sebaya ataupun ‘peer group’. kita tahu secara purata pengundi yang berumur 18 sehingga 40 merupakan majoriti terbesar. Puratanya 52 peratus. Kalau kita masih menggunakan pendekatan konvensional, sampai kiamat pun kita tidak akan dapat memenangi jiwa dan hati serta minda pengundi-pengundi baharu ini.

“Walaupun saya ini belongs to different school of thought, tetapi saya amat dekat dengan gen-Z yang cita rasanya berbeza. Alam kami juga berbeza malah ketika saya melakukan doktor falsafah (PhD), bidang kajian saya ialah ‘political communication’,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kaedah lama yang digunakan seperti komunikasi secara bersemuka masih boleh dilaksanakan tetapi memerlukan penambahbaikan.

“Ketika itu saluran media sama ada above and below the line, media cetak, elektronik dan method of communication tidak lagi relevan. Kajian saya dahulu tidak lagi relevan dengan situasi yang ada sekarang ini.

“Tetapi UMNO/BN masih tidak dapat menguasai media tanpa lisan ini. Itu sebabnya kita kecundang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan sebelum itu. Kita masih menggunakan pendekatan komunikasi bersemuka. Kita boleh kekalkannya tetapi kita boleh turut sebarkan melalui media sosial,” katanya lagi.

Dalam pada itu dia turut berkata bahawa barisan pelapis kepimpinan perlu disediakan untuk menggantikan pemimpin sedia ada.

“Saya sesungguhnya tersanjung kerana anak-anak dan adik-adik saya masih berkesempatan untuk kita bertemu. Insya-Allah janji saya kepada Allah SWT selagi saya menakhodai parti UMNO ini saya tidak akan pernah izinkan UMNO untuk diharamkan.

“UMNO ini parti keramat. Ia tidak dilahirkan di tepi jalan tetapi dilahirkan di istana. Jangan biarkan saya keseorangan untuk menatang UMNO ini supaya membumi bagi menyantuni rakyat. Insya-Allah.

“Tetapi saya perlu menyediakan barisan pelapis kepimpinan. Sedar atau tidak memang saya telah sediakan. Selepas mereka siapa lagi? Mereka di depan saya inilah yang akan mengambil tanggungjawab dan amanah untuk menggantikan barisan kepimpinan ini pula. Ertinya berlaku kesinambungan kepimpinan di dalam UMNO ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit