Berganding Bahu Jadikan Puteri UMNO Wadah Orang Muda – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyeru ahli-ahli sayap parti itu untuk terus melaksanakan gerak kerja terbaik sebagai wadah wanita muda menyampaikan aspirasi mereka.
Menurut beliau, ia penting dalam memperkasa Puteri dalam mendepani era dinamika politik yang serba mencabar.
“Di peringkat pusat, macam-macam program kita telah berjaya laksanakan. Jadi saya menyeru untuk kepimpinan Puteri di peringat bahagian, sama-sama bekerja, dan saling membantu untuk menjadikan Puteri sebagai wadah orang muda.
“Bayangkan, kalau kita semua berganding bahu, alangkah kuat dan kukuhnya sayap kita,” katanya.
Nurul Amal berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Ketua Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung Puteri UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut sama menyambut baik hasrat sebahagian perwakilan Puteri yang mahukan had umur keanggotaan Puteri dinaikkan ke 40 tahun.
Jelasnya lagi ia akan dibawa pada Majlis Kerja Tertinggi yang akan bersidang malam ini.
Sementara itu, beliau turut berharap Program Usahanita Peruncitan Nasional yang digerakkan Puteri UMNO bersama 310 stesen minyak BH Petrol dapat membantu usahawan wanita muda menembusi pasaran peruncitan untuk mereka memasarkan produk dengan lebih meluas.
“Semoga lebih banyak syarikat datang bekerjasama dengan Puteri UMNO dan merancang program sebegini supaya kita sama-sama bantu rancakkan ekonomi wanita muda,” katanya. – UMNO Online