Azalina Seru Ahli UMNO Manfaatkan Dan Kuasai Media Sosial

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Setiap ahli UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial sebagai medium berpolitik secara berkesan bagi meraih sokongan rakyat kepada parti.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini terbukti dengan kejayaan UMNO sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini.

“Kalau kita tengok daripada pilihan raya negeri dulu dan pilihan raya kecil, media sosial memainkan peranan yang begitu positif. Bagi pihak Penerangan UMNO Malaysia, sebagai Ketua Penerangan, kita memang lebih agresif pada media sosial terutama sekali dari segi latihan di peringkat sayap.

“Kita juga melihat beberapa kejayaan daripada respons UMNO negeri-negeri dan UMNO bahagian-bahagian yang mempunyai pendekatan mereka sendiri… banyak kepimpinan hari ini dah boleh jadi pempengaruh,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Azalina berkata sebagai contoh, PRK DUN Nenggiri turut menyaksikan ramai pimpinan UMNO termasuk setiausaha politik dan Ahli Majlis Tertinggi parti selain calon, mendapat perhatian ramai dengan berkempen menerusi media sosial.

Ini bermakna mesej yang disampaikan Penerangan UMNO mengenai kepentingan media sosial dalam amalan berpolitik mendapat respons positif dari segi kesedaran pimpinan dan ahli parti, tambah beliau. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit