Ambil Semangat PAU 2024 Tunjukkan Kecintaan, Kesetiaan Kepada Parti – SUA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru para perwakilan dan juga ahli untuk mengambil semangat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini bagi menunjukkan kecintaan dan kesetiaan kepada parti.

Ujarnya, beliau amat teruja dengan kehadiran yang luar biasa oleh perwakilan pada hari pertama PAU, semalam.

“Alhamdulillah, saya amat rasa bersyukur dan begitu teruja melihat kehadiran yang luar daripada biasa bermula semalam. Biasanya kalau hari pertama itu tidak ramai sangat. Tapi semalam sebelum bermulanya PAU khususnya persidangan sayap-sayap pun, kehadiran perwakilan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) ini sudah melimpah ruah.

“Terutamanya program-program yang diadakan sebelum Taklimat Presiden lagi. Bermula dari pagi, Penerangan UMNO sendiri menganjurkan ‘PENTalk’ manakala Pergerakan Puteri mengadakan program pusingan akhir pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, ia merupakan satu perkembangan positif dan beliau mengharapkan momentum tersebut kekal pada hari-hari seterusnya.

“Saya melihat ini satu perkembangan yang amat positif. Kehadiran anak muda ke program-program PAU khususnya amat memberangsangkan. Kita harapkan momentum ini akan lebih besar lagi terutamanya esok, apabila bermulanya secara rasmi ucapan dasar oleh Presiden.

“Paling utama sekali, bersempena dengan PAU ini, kita buat kali pertamanya mengadakan program Karnival Eksplorasi Pendidikan dan Kerjaya TVET yang menawarkan peluang kepada semua rakyat, bukan sahaja untuk UMNO, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Mereka dialu-alukan hadir untuk mendapatkan maklumat berkenaan bidang-bidang TVET dan apakah peluang-peluang yang ada. MARA sendiri akan buka banyak ‘booth’ esok dan akan menawarkan tidak kurang daripada 7,000 tempat pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran TVET tidak termasuk institusi pendidikan lain. Saya menjangkakan kehadirannya sudah tentu akan melimpah ruah lagi esok,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar para perwakilan terus menzahirkan semangat ketika PAU ini berlangsung.

“Saya mengharapkan perwakilan akan terus menzahirkan semangat yang berkobar-kobar. Saya tahu aura Nenggiri itu juga memainkan peranan besar dalam menaikkan suhu dan juga semangat perwakilan.

“Saya mengalu-alukan seberapa ramai datang. Mereka yang mahu makan di sini, disediakan pelbagai juadah makanan. Kita ada ‘foodtruck’, gerai-gerai yang sebenarnya lebih banyak daripada biasa. Sesiapa yang ingin membeli belah dengan harga yang amat berpatutan, terdapat pelbagai ‘booth’ daripada usahawan-usahawan.

“Apa lebih penting, ambillah semangat PAU ini untuk kita menzahirkan kecintaan, kesetiaan dan semangat kita bangkit semula dalam konteks perjuangan untuk rakyat demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.