UMNO Mesti Kukuh Bersatu, Ahli Mesti Kekal Bersetia, Pesan Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO mesti kukuh bersatu manakala ahli mesti kekal bersetia.

Ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, keyakinan orang Melayu kepada UMNO akan berputik apabila parti ini dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas dalam kerjasama dan persefahaman.

“Alhamdulillah, kita akui dan hargai yang UMNO pada waktu ini telah berjaya menampilkan kesatuan dalam parti kita ini. UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang. Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecah-belahkan parti.

“Kepimpinan UMNO jelas dengan fokusnya dalam kerajaan. Dan menunjukkan prestasi yang pada pandangan saya memberangsangkan. Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti.

“Segala macam kepuakan mesti kita jauh dan hapuskan. Segala hasrat untuk cita-cita peribadi dalam politik mesti kita ketepikan. Ingat, perjuangan politik peribadi tiada tempat dalam UMNO. Wadah UMNO ini, adalah wadah orang Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam ini.

Hadir sama Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda Dr Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Tambah Mohamad lagi, UMNO mesti ketengahkan perpaduan jika semua ahli mahu parti pulih dan kembali diyakini.

“Namun perpaduan tidak akan tercapai tanpa kesetiaan. Kesetiaanlah yang telah membolehkan UMNO, selama berpuluh tahun, mengurus dan membangunkan Malaysia dengan jaya.

“Kesetiaan pula tidak boleh berbelah-bahagi, apa lagi berpilih-pilih. Setia pada parti hanya jika ia dipimpin oleh si polan itu dan si polan ini. Jika bukan mereka, maka kesetiaan pada UMNO itu mesti dikendurkan. Jangan begitu.

“Kita bukan setia pada habuan. Setia kita bukan untuk kedudukan. Setia kita bukan setia hanya dengan pemimpin kesukaan kita. Kesetiaan tiada bermusim. Tidak memilih saat dan ketika. Ia adalah sumpah setia, selagi hayat dikandung badan,” katanya sambil menyeru semua ahli setia kepada perjuangan parti untuk bangsa, agama dan tanah air.

Dalam ucapannya juga, Mohamad berkata kejayaan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan tanda aras bagi kepulihan sepenuhnya UMNO.

“Kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar. Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah, sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.

“Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan. Hakikatnya, orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas, bahawa mereka telah mula beramai-ramai, kembali mendukung UMNO.

“Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon UMNO,” kata Menteri Luar Negeri itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit