Ucapan Perasmian YB Timbalan Presiden Di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, Dan Puteri UMNO 2024


Para perwakilan yang di kasihi;

1. Terdahulu dari yang lain, sukacita saya mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan dan pemerhati, Wanita, Pemuda dan Puteri ke Perhimpunan Agung UMNO 2024.

2. Saban tahun, perhimpunan sebegini memberikan kita petunjuk jelas, bahawa UMNO ini adalah pergerakan politik Melayu, yang terus penting dan berfungsi. Sinarnya terus menyala. Bahangnya terus terasa.

3. Perhimpunan Agung UMNO acapkali menjadi petunjuk, kepada bangsa Melayu, bahawa dalam segala kelemahan, kekurangan serta kebaikannya, UMNO terus setia, dalam khidmatnya sebagai jurucakap Bangsa Melayu. Tanpa rasa lelah dan jemu.

4. Harapan saya, kita akan terus memanfaatkan perhimpunan ini, untuk menampilkan kebaikan, kepada bangsa Melayu, kepada UMNO dan kepada tanahair.

5. Gunakanlah pentas ini, sebaik dan sewajarnya. Terutama dalam mengusulkan kecerdasan baharu, untuk bangsa dan parti.

Perwakilan yang saya hormati sekalian;

6. Sebelum saya pergi lebih jauh, mari kita mengenang kesusahan dan penderitaan seluruh rakyat Palestin waktu ini.

7. UMNO, alhamdulillah, sentiasa berdiri teguh, dalam perjuangan rakyat Palestin, untuk memerdekakan tanahair mereka, dan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa.

8. Tiada perkataan dapat menggambarkan, betapa zalim nya rejim Zionis Israel, terhadap rakyat Palestin selama ini.

9. Apa yang berlaku di Gaza semenjak 10 bulan lepas adalah kekejaman, kezaliman dan genosid yang paling dahsyat terhadap manusiawi, selepas perang dunia kedua.

10. Malangnya, kuasa-kuasa besar dunia enggan menghentikan Israel dari melakukan kekejaman ini.

11. Malaysia Insyallah akan terus melakukan apa sahaja yang terdaya, dalam membantu perjuangan Palestin ini.

12. Justeru, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah swt atas kurniaan paling baik untuk Malaysia, negara yang sangat aman dan sejahtera ini.

13. Insyallah beberapa hari lagi, kita akan menyambut Hari Ulang tahun Kemerdekaan ke 67.

14. Jiwai semangat kemerdekaan ini, dengan memelihara keamanan dan pembangunan yang kita nikmati. Jangan musnahkan ia, hanya kerana perseteruan politik antara sesama kita.

15. Maka jangan sia-siakan harga nyawa yang dikorbankan, oleh pejuang dan pelopor kemerdekaan terdahulu.

16. Tanamlah azam untuk memajukan tanahair tercinta dengan sebaik-baik kemajuan, dan menjadikan ia negara yang paling damai, sejahtera dan dicontohi.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

17. Pada malam yang berbahagia ini, suka saya mengingatkan, bahawa memulihkan keyakinan, dan mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO, akan terus menjadi agenda, serta fokus penting, kepimpinan dan semua ahli parti.

18. Kejayaan di PRK DUN Nenggiri, walaupun manis dan momentum yang penting kepada UMNO, namun ia bukan tanda aras bagi kepulihan sepenuhnya UMNO.

19. Kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.

20. Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah, sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.

21. Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan.

22. Hakikatnya, orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas, bahawa mereka telah mula beramai-ramai, kembali mendukung UMNO.

23. Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon UMNO.

24. UMNO pula tidak boleh hidup dalam penafian.

25. Menjadi sebahagian dari Kerajaan jangan sesekali melalaikan kita.

26. Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap, kepada kerajaan perpaduan.

27. Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO.

28. Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini, mesti kita giatkan.

29. Pastinya tiada jalan mudah, untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu. Ia akan mengambil masa. Namun itulah harga sebuah perjuangan.

30. Dan strategi paling penting, untuk kita mengembalikan kepercayaan ini, adalah dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti.

31. UMNO mesti kukuh bersatu, dan ahli mesti kekal bersetia.

32. Keyakinan orang Melayu kepada UMNO, Insya-Allah akan berputik, apabila kita dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas, dalam kerjasama dan persefahaman kita.

33. Alhamdulillah, kita akui dan hargai, yang UMNO pada waktu ini, telah berjaya menampilkan kesatuan dalam parti ini.

34. UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang. Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecahbelahkan parti.

35. Kepimpinan UMNO jelas dengan fokusnya, dalam Kerajaan. Dan menunjukkan prestasi yang pada pandangan saya, memberangsangkan.

36. Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti.

37. Segala macam kepuakan mesti kita jauh dan hapuskan.

38. Segala hasrat untuk cita-cita peribadi dalam politik mesti kita ketepikan.

39. Ingat, perjuangan politik peribadi tiada tempat dalam UMNO.

40. Wadah UMNO ini, adalah wadah orang Melayu.

41. Ia adalah arena untuk kita bersama-sama, mengemudi masa depan bangsa.

42. Perpaduan adalah apa yang UMNO mesti ketengahkan, jika parti ini ingin pulih dan kembali diyakini.

43. Namun perpaduan tidak akan tercapai tanpa kesetiaan.

44. Kesetiaanlah yang telah membolehkan UMNO, selama berpuluh tahun, mengurus dan membangunkan Malaysia dengan jaya.

45. Kesetiaan pula tidak boleh berbelah bahagi, apa lagi berpilih-pilih.

46. Setia pada parti hanya jika ia dipimpin oleh si polan itu dan si polan ini. Jika bukan mereka, maka kesetiaan pada UMNO itu mesti dikendurkan.

47. Kita bukan setia pada habuan. Setia kita bukan untuk kedudukan. Setia kita bukan setia hanya dengan pemimpin kesukaan kita.

48. Kesetiaan tiada bermusim. Tidak memilih saat dan ketika. Ia adalah sumpah setia, selagi hayat dikandung badan.

49. Kita setia pada perjuangan parti, kerana kita benar-benar menjiwai perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair. Sesetia malam pada siang. Sesetia pantai pada sang ombak.

50. Walau ada halilintar, kilat dan petir, siang pasti menjelma, malam pasti akan tiba.

51. Biar dipukul badai dan gelora yang luar biasa, pantai akan terus ada, menerima pasang dan surutnya ombak.

52. Benar, tidak semua perkara kita akan bersetuju dengan pemimpin kita.

53. Malah, UMNO sendiri, sebagai parti yang waras dan rasional, perlukan suara-suara yang jujur dan ikhlas. Suara-suara yang berani dan berprinsip. Bukan taklid membuta tuli.

54. Tetapi perbezaan pendapat, percanggahan idea, pertembungan pendirian, semua itu sekadar sunnah perjuangan, yang harus diurus dengan kematangan dan kedewasaan.

55. Ia tidak boleh mengatasi kesetiaan dan kecintaan kita pada parti. Apatah lagi jika ia dibiarkan terheret, oleh emosi dan kepentingan diri.

56. Jangan biarkan amukan perasaan kita, memusnahkan apa yang kita cintai dalam UMNO ini, iaitu perjuangan bangsa.

Perwakilan yang saya kasihi;

57. Landskap politik Melayu semenjak beberapa tahun ini telah banyak sekali berubah.

58. Kita sedang menyaksikan kemunculan ‘politik toksik’, pada skala yang sangat luar biasa.

59. Ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.

60. Dalam PRU yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.

61. Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini.

62. Pemerhatian saya, telah mati di persada politik orang Melayu ini, politik yang matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik.

63. Telah muncul apa yang saya panggil ‘politik toksik dan batil’, pada skala yang luar biasa.

64. Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik.

65. Kita mesti memerangi politik nista dan toksik ini.

66. Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya.

67. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu.

68. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat.

69. Ia sebenarnya, telah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu, ke tahap paling rendah.

70. Masa depan UMNO adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’.

71. Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok, bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita.

72. Janganlah hanya kerana nila setitik, ia menjadi gambaran pemikiran UMNO keseluruhan nya.

73. Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri. Jadilah anda sebagai semua mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara.

74. Bukan pencetus, segala tindakan anti akal dan cetusan emosi yang dangkal. Yang menjadi fitnah dan titik hitam, pada bangsa dan agama.

75. Perjuangkanlah kepentingan bangsa dan agama dengan hikmah.

76. Dengan kata-kata dan tindakan yang mulia. Bak kata pepatah Inggeris, leading by inspiration.

77. Islam tidak akan tersebar luas, dan diterima menjadi rahmah kepada seluruh alam ini, jika tidak kerana kemuliaan dan akhlak terpuji Rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW.

78. Islam juga tidak akan sampai ke dunia Melayu, jika orang Melayu dahulu tidak terpesona, dengan akhlak dan budi pekerti para pedagang dan pendakwah, yang menyebarkan Islam di Nusantara.

79. Maka UMNO mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’.

80. Kita mesti menjadi armada, yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.

81. Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal. Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.

82. Namun untuk memerangi politik toksik ini, kita mesti laksanakan dengan strategi yang ampuh. Ia telah sampai ke tahap yang sangat serius dan merbahaya.

83. Jika tidak dibendung, ia akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian, yang kemuncaknya ialah keganasan.

84. Lihat sahaja rusuhan dan kebencian, yang sedang meluap-luap ke atas orang Islam dan komuniti migran, di bandar-bandar besar di England, dan Ireland Utara baru-baru ini.

85. Semuanya bermula dengan pemikiran toksik dan fitnah, kononnya suspek kepada kes pembunuhan sekumpulan kanak-kanak di Southport, adalah orang Islam dari komuniti migran.

86. Lalu kebencian merebak. Prejudis menyala-nyala. Keganasan, vandalisme serta serangan ke atas masjid, dan premis perniagaan orang Islam berleluasa.

87. Dan walaupun akhirnya pihak berkuasa tampil, dan mengeluarkan laporan rasmi, bahawa suspek bukan seorang beragama Islam, keadaan tidak semakin pulih.

88. Yang menjadi mangsa ialah mereka yang tidak bersalah. Yang rugi adalah seluruh negara dan rakyat.

89. Situasi ini seharusnya menjadi teladan kepada kita, akan peri bahayanya politik toksik dan prejudis yang membuta tuli.

90. Saya menyarankan kepada semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk membahas dan meneroka, jalan bagaimana kita harus menangani gejala politik toksik ini, dalam perbahasan kalian.

91. Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya.

92. Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, usulkan.

93. Jika ada teknologi yang boleh diguna pakai, kita manfaatkan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan;

94. Islam datang ke dunia Melayu dengan membawa bersamanya jalan pencerahan.

95. Jika ditanyakan. Apakah sumbangan paling besar Islam kepada dunia Melayu? Jawapannya, Islamlah yang menjadikan bangsa Melayu bangsa yang rasional.

96. Islam membawa dimensi yang berlainan, dalam aspek pengabdian kepada Tuhan. Ia menyingkir segala macam ketahayulan dan amalan syirik, dengan memperkenalkan konsep tauhid.

97. Telah lama ada titik temu antara Islam, kemodenan, dan kemelayuan.

98. Dan titik temu itulah yang sebenarnya mesti kita serlahkan, untuk mengembalikan semula keyakinan semua orang Melayu, kepada perjuangan UMNO.

99. Justeru, jika bangsa Melayu ingin maju dan berdaya saing, maka jalannya mestilah dengan berpaut teguh kepada Islam.

100. Dan adat berpolitik kita, mestilah kembali berpasak kepada Islam sebagai doktrin dan sistem nilainya.

101. Namun, yang mendukacitakan kita pada waktu ini pula ialah, Islam di Malaysia sekarang ini seakan telah di ‘hijacked’ oleh golongan tertentu.

102. Ada kelompok politik dalam negara ini yang merasakan bahawa Islam adalah milikan tunggal mereka.

103. Hanya mereka yang mempunyai ilmu, untuk menilai apa yang Islamik, dan apa yang bukan Islamik.

104. Yang lebih merbahaya, sesiapa yang tidak bersama mereka dilihat mengancam Islam. Atau gagal mendukung Islam.

105. Mereka sesungguhnya menggunakan Islam, untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini.

106. Malah menakut dan menjauhkan Islam, dari sanubari dan hormat golongan bukan Islam, terhadap agama suci ini.

107. Kesannya, ummah berpecah, dan Islam pula menjadi lemah.

108. Islam yang sebenar adalah Islam yang bukan milikan siapa-siapa. Ia rahmat Allah untuk seluruh alam.

109. Jika Islam terus ‘ditawan’ seperti mana ia diperlakukan oleh kelompok politik tertentu dalam negara ini, maka Islam akan terancam.

110. UMNO mesti memastikan ini tidak berlaku.

111. Kita mesti tampil menjelaskan pendirian UMNO dalam perkara ini.

112. Bahawa Islam adalah agama yang suci, dan tidak pernah sesekali mengajar kita, untuk mengastakan keimanan dan keislaman seseorang, menggunakan neraca politik.

113. Dan yang lebih perlu dan penting, Islam mesti kita persembahkan secara berhikmah, moden dan intelektual.

114. Bukan dengan jalan menghukum, mencerca atau membeza-bezakan manusia.

115. Yang pasti, UMNO sangat layak untuk memberitahu orang Melayu, bahawa Islam adalah pendorong kemajuan bangsa Melayu, dan kebaikan negara.

116. Kerana UMNO lah parti politik yang telah membuktikan, bahawa Islam adalah solusi konkrit untuk pembangunan dan kesejahteraan negara.

117. Kita lah yang telah membidani pengenalan sistem perbankan dan kewangan Islam termaju di dunia.

118. Kita lah yang mempelopori pendidikan Islam, yang seiring dengan pendidikan moden. Pelbagai universiti berteras Islam, dan ratusan sekolah sedemikian, telah kita bangunkan.

119. Kerana bagi UMNO, Islam bukanlah sekadar nama. Islam pembimbing dan pedoman untuk kita berubah dan berdaya saing.

120. Hanya Islam yang boleh memberi inspirasi kepada kemajuan yang seimbang, antara keperluan manusiawi dan tuntutan rohani.

121. Islam juga harus kita jadikan syiar yang mendorong Malaysia, menjadi sebuah negara yang meraikan kemajmukan.

122. Semoga Islam di Malaysia ini, menjadi benar-benar inspirasi untuk sebuah negara yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan Ilahi, insya-Allah.

123. Dan bukannya dijadikan sebagai barang dagangan politik ataupun bahan tunggangan semata-mata.

Para perwakilan yang saya kasihi;

124. Beberapa minggu lepas, kita telah menyaksikan kejatuhan Kerajaan Bangladesh akibat desakan yang berterusan dari generasi muda.

125. Media di seluruh dunia, menggelarnya sebagai ‘Generation Z revolution’. Kita juga melihat kebangkitan politik Gen Z ini di pelbagai negara lain. Di Perancis, Iran, Kenya dan banyak lagi.

126. Beberapa tahun lepas, kita juga berhadapan dengan ledakan kebangkitan Gen Z dan golongan milennial.

127. Apabila undi 18 dilaksanakan, kita digempur dari segenap penjuru oleh Gen Z dan milennial. Dan akhirnya kita tergelincir dari puncak kuasa.

128. Percayalah, kita akan melalui pilihan raya yang lebih sukar dalam masa tiga tahun dari sekarang, malah lebih sukar dari PRU ke-15, jika kita gagal mengurus aspirasi Gen Z ini.

129. Mereka tidak mempunyai ‘sentimental attachment’ dengan UMNO ini. Atau tidak mempunyai hubungan langsung dengan UMNO.

130. Mereka membesar dalam dunia yang menyaksikan UMNO tidak lagi dominan dalam persada politik negara. Tetapi disaingi oleh pelbagai pemain lain dalam landskap politik negara.

131. Mereka tidak berparti. Mereka menilai berdasarkan apa yang mereka peroleh, baca dan tatap di pelbagai platform media sosial.

132. Mereka menewaskan pelbagai dasar Kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan di skrin media sosial mereka.

133. Bagi mereka, itu adalah ruang paling baik untuk mereka berpartisipasi dalam demokrasi.

134. Dan itulah realitinya, bahawa ‘ruang demokrasi’ kita sekarang ini adalah di persada maya.

135. Tidak ada fasa dalam peradaban politik, yang menyaksikan gelombang demokrasi digital lebih memberi impak dan cabaran, berbanding waktu ini.

136. Kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri, pastinya parti sangat berharap pada kalian untuk merungkai penyelesaian terhadap cabaran maha besar ini.

Para perwakilan yang saya hormati;

137. Saya telah mengikuti rapat pilihanraya Presiden Indonesia beberapa bulan lepas.

138. Saya ingin kongsikan beberapa pemerhatian saya.

139. Pertama, seluruh kempen di laksanakan dengan penuh kreativiti.

140. Sangat, sangat kreatif. Pelbagai bentuk iklan, video, infografik, animasi, aksi Tik Tok yang luar biasa di pelbagai spektrum media tradisional dan media sosial.

141. Semuanya dipersembahkan dengan pelbagai idea luar kotak, sindiran yang sopan tetapi menyengat, dan dipersembahkan dengan mutu kreativiti yang luar biasa.

142. Kedua, kempen media sosial di pelbagai platform, adalah kempen perdana.

143. Platform media baharu adalah medan kempen sebenar. Bukan lagi di lapangan, di stadium, di ceramah umum apa lagi di ceramah kelompok.

144. Kempen di media sosial ini pula direka cipta untuk tatapan semua. Segenap umur, strata dan seluruh lapisan masyarakat.

145. Maknanya hampir 90 peratus fokus kempen, tertumpu di media sosial. Ceramah mega, kunjungan rumah ke rumah dan pelbagai kaedah kempen tradisional itu telah semakin menjadi ‘secondary’.

146. Ketiga, kedinamikan kempen.

147. Ia senantiasa dinamik, anjal dan tidak rigid.

148. Ia bertukar pantas sesuai dengan trend isu semasa. Kemas dengan persediaan data dan pelbagai jawapan yang tuntas.

149. Kempen mereka disokong oleh pasukan penyelidik yang sangat cekap dalam menepis pelbagai isu semasa yang tular.

150. Keempat, kemunculan pempengaruh dari kalangan Gen Z dan millenials.

151. Mereka lebih berupaya mempengaruhi pemilih jika dibandingkan dengan pemain politik.

152. Malah, ramai sekali yang bekerja sepenuh masa dengan calon tertentu dan bertugas mempengaruhi segmen tertentu di kalangan pengundi.

153. Semua ini menggambarkan betapa besarnya impak Gen Z dan milennial.

154. Justeru, sangat penting untuk keseluruhan jentera, dan sayap pergerakan parti kita, mempunyai operasi elektoral khusus, bagi mengurus kecanggihan Gen Z dan milennial ini.

155. Bagi menambat hati mereka, ada beberapa cara yang ingin saya ketengahkan.

156. Pertama, golongan belia inginkan kepastian bahawa masa depan mereka terjamin.

157. Mereka mahu melihat satu keterjaminan, bahawa masa depan mereka tidak perlu lagi dirisaukan.

158. Mereka inginkan gaji bermaruah. Supaya kehidupan mereka tidak hanya bergantung harap kepada subsidi dan bantuan tunai langsung.

159. Mereka inginkan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran termaju.

160. Sekarang bukan lagi pengangguran yang menjadi isu, tetapi pekerjaan yang wujud, tidak sepadan dengan kemahiran yang mereka miliki.

161. Kedua, dekatilah para pemuda dan belia ini dengan mengikut rentak dan selera semasa.

162. Ini membolehkan kita menambat hati dan memahami psikologi dan keinginan golongan muda.

163. Apalagi politik selalu diambil terlalu serius oleh kebanyakan kita.

164. Sedangkan inilah masanya untuk politik itu kelihatan kontemporari, dan diungkap dengan cara yang lebih santai dan tidak feudal.

165. Untuk itu, saya rasa kita sangat memerlukan bantuan kelompok profesional, seperti perunding media sosial dan pemasaran, untuk membantu kita.

166. Malah mungkin tiba masanya kita menggunakan Gen Z sebagai pemacu utama kempen kita.

167. Ini kan zaman mereka. Kita mentadbir di zaman mereka. Apa salah nya kita memberikan ruang dan peluang, untuk mereka mengurus kempen kita untuk generasi mereka.

Para perwakilan yang saya hormati.

168. Pilihanraya umum seterusnya akan berlangsung dalam 3 tahun dari sekarang.

169. Jika UMNO gagal menunjukkan kebangkitan serta berprestasi, UMNO akan terus mengendur dengan pantas dari landskap politik nasional.

170. Justeru persediaan mesti segera kita lakukan.

171. Keperluan elektoral kita, tidak lagi boleh dilakukan dengan cara terdahulu.

172. Ia memerlukan dedikasi sepenuh masa oleh sebuah pasukan yang dianggotai oleh pelbagai segmen profesional.

173. Ahli statistik, data saintis, pempengaruh media sosial, penyelidik, ahli media, pasukan kreatif, dan pelbagai lagi.

174. Saya menyeru agar UMNO menubuhkan ‘Team Sukses UMNO’ dengan kadar segera.

175. Matlamatnya hanya satu. Menjayakan operasi ‘Bringing Back UMNO’.

176. Fokus utama pasukan sepenuh masa ini ialah melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO.

177. Mengenal pasti setiap pengundi. Merangka manifesto. Menghasilkan pelbagai strategi kempen. Menyemak semua mereka yang berpotensi menjadi calon boleh menang. Yang paling utama, mengemudi kempen di persada media sosial.

178. Ia mesti diuruskan seperti sebuah entiti perniagaan. Bukan entiti peperangan.

179. Kenapa perubahan strategi ini penting. Kerana kita ingin pengundi tertarik dan membeli semula jenama UMNO ini.

180. Dan ia memerlukan ‘a business and marketing strategy’, yang bersandarkan ‘consumer behavior’.

181. Team Sukses UMNO mesti dipacu dari satu ‘command centre’.

182. Yang akan disambut, oleh semua di pelbagai negeri dan bahagian, untuk disebar luar dan dijelaskan kepada setiap pengundi.

183. Ini secara langsung dapat meringankan, tugas semua pekerja di lapangan.

184. Ini juga bermakna, mereka di lapangan hanya perlu memberikan fokus, kepada penjelasan isu setempat, serta meraih sokongan setempat, dengan pendekatan khidmat yang selama ini kita laksanakan.

185. Kita mesti belajar dari pelbagai pengalaman negara luar, bagaimana untuk menubuh dan mengoperasikan Team Sukses mereka.

186. Semuanya dioperasikan dengan kecekapan digital, sokongan data yang komprehensif, dan dianggotai oleh profesional dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang.

187. Oleh yang demikian, saya mengusulkan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk merangka kewujudan Team Sukses ini.

188. Jadikan ia fokus sebenar gerak kerja Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk tiga tahun mendatang.

189. Dan ingatlah, kita memang benar-benar kesuntukan masa. Tiga tahun bukan masa yang panjang.

Rakan-rakan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri;

190. Akhirul kalam, setiap daripada kita memikul tanggungjawab yang amat berat.

191. Pertama-tama, tanggungjawab kita kepada Tuhan, diri, dan keluarga.

192. Dalam masa yang sama, kita turut memikul tanggungjawab sebagai warganegara yang mesti turut serta dalam pembangunan negara.

193. Selain semua itu, kita memiliki tanggungjawab terhadap parti. Kita tidak boleh membiarkan UMNO terus terperosok.

194. Kita mesti menyahut cabaran untuk membuktikan bahawa UMNO adalah masa depan.

195. Kita mesti memanifestasikan perjuangan bangsa. Bukan sekadar memenangkan sekelompok atau sesama kumpulan masing-masing.

196. Perjuangan ini adalah perjuangan untuk semua.

197. Mari kita bangunkan azam dan iltizam baharu dengan kebulatan tekad untuk mencapai kejayaan.

198. Justeru, saya menyeru dan menggesa kepada semua. Ayuh, kita berganding bahu, menuju UMNO yang baharu. Yang Islamik, nasionalis dan demokratik.

199. Kita buang yang keruh, kita kekalkan yang jernih, dan kita ubah semua menjadi lebih baik Insya-Allah.

200. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2024.

201. Selamat bersidang.

202. Terima kasih.

203. Assalamualaikum wbt.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit