PENTalk: Kita Tidak Boleh Guna Kaedah Lama Untuk Tambat Hati Pengundi

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – UMNO tidak boleh hanya bergantung dan menggunakan kaedah lama untuk mendekati serta menambat hati pengundi, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Tegasnya, UMNO perlu mengambil inisiatif dengan menguasai media sosial dalam usaha untuk mengekang segala fitnah dan tohmahan yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Di era persepsi lebih dipercayai daripada realiti. UMNO mesti sesuaikan diri dalam persekitaran politik. Kita mesti kekang fitnah yang cukup dahsyat di media sosial dan kita perlu ubah mood daripada defensif kepada ofensif.

“Penguasaan politik dalam media sosial merujuk kepada penguasaan platform media sosial oleh komunikator politik. Ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian ini merupakan komunikator-komunikator politik dan ahli-ahli biasa pun boleh terlibat sebagai komunikator politik.

“Setiap ahli, bukan ahli, penyokong yang ada telefon pintar semua boleh terlibat sebagai komunikator politik. Proses dan aktiviti politik merangkumi semua aktiviti berkaitan dengan tadbir urus sesebuah negara ataupun kawasan hari ini termasuklah organisasi-organisasi politik, parti politik, kumpulan berkepentingan, politik tempatan dan luar negara serta nilai budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena PENTalk yang bertajuk ‘Penguasaan Politik Dalam Media Sosial’.

Tambahnya, ahli politik pada masa kini tidak boleh lagi hanya menggunakan pendekatan lama iaitu secara bersemuka dan perlu menguasai media sosial.

“Ahli politik masa kini tidak boleh lagi berharap dengan pendekatan lama yang hanya menggunakan kaedah bersemuka ataupun ‘offline’. Kita kena mahir menguasai media sosial dalam usaha untuk kita menangani fitnah, tohmahan dan juga perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Ini penting kerana cabaran menambat hati pengundi hari ini tidak boleh dilakukan hanya secara ‘offline’ tetapi juga kita tahu orang muda sekarang ini sudah mula mendekati kaedah-kaedah secara ‘online’ dan kita tahu juga hari ini mak ayah kita juga telah pun menggunakan TikTok, Facebook dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dalam mengatur strategi sudah semestinya ia adalah untuk membina satu ‘setup’ baharu kepada hala tuju parti.

“Apabila kita bercakap mengenai strategi ianya adalah seperti kita membuat satu lawak jenaka. Asasnya mudah, ada ‘setup’ dan ada ‘twist’. Asas cerita dan hujungnya ada ‘twist’.

“Sebab itu kalau kita lihat sekarang ini dalam keputusan-keputusan yang diambil… ‘setup’ yang dibuat oleh Presiden, diputuskan oleh peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ialah bagaimana kita membina satu ‘setup’ baharu kepada hala tuju perjuangan parti.

“Kita berhadapan dengan satu situasi yang cukup rumit dalam pilihan raya lepas kita tinggal 30 kerusi. 26 kerusi UMNO. Apa pilihan kita pada waktu itu? Pada waktu itu dibincangkan sama ada bersama Pakatan Harapan (PH), bersama dengan Muafakat Nasional (MN) ataupun bersendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena PENTalk yang bertajuk ‘Bagaimana Komunikasi Strategik Mendorong Kejayaan’.

Tegasnya, keberadaan UMNO dalam kerajaan membolehkan parti ini menunjukkan bahawa para pemimpin mereka adalah yang terbaik dalam melaksanakan tugas berdasarkan pengalaman.

“Bahas punya bahas, walaupun pada waktu itu kita didorong dengan keputusan titah, tetapi antara perkara yang menjadi asasnya, kita mesti bersama kerajaan. Kalau kita berada di luar kerajaan, mungkin WTC ini juga akan berhadapan dengan suasana yang suram dan muram.

“Mungkin banyak lagi perkara yang menghantui kita dan bersama dengan kerajaan adalah ‘setup’ penting pada waktu itu… kita teruskan pada sekarang. Ini kerana apabila kita berada dalam kerajaan, banyak perkara yang kita boleh tonjolkan.

“Antara perkara adalah kita menunjukkan bahawa setiap pemimpin dan mereka yang berada dalam kerajaan kita dapat lihat bahawa antara yang terbaik dalam kerajaan itu adalah orang-orang daripada UMNO,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa meskipun bilangan UMNO di dalam kerajaan adalah kecil tetapi ia mampu untuk menentukan agenda besar dalam membentuk dasar.

“Ini merupakan mesej yang penting. Orang UMNO boleh bekerja, orang UMNO boleh memimpin dan orang UMNO boleh melakukan sesuatu yang baik. Sebab itu kita tengok apa yang terbina akhir-akhir ini, ‘setup’ yang dibuat oleh kepimpinan kita misalnya Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Dua hari lepas ada peluncuran Ekonomi Bumiputera 2035. Ini menunjukkan bahawa UMNO walaupun kecil, berada dalam kerajaan dapat menentukan agenda besar kerajaan pada hari ini tetap pada kepentingan Melayu, bumiputera dan Islam yang penting,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit