PAU2024: Jangan Nafikan UMNO… Kemerdekaan Negara Jasa Yang Cukup Mahal – Badruddin

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan menjelang Hari Kemerdekaan, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengajak rakyat untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang diperoleh negara hasil daripada perjuangan pemimpin UMNO.

Beliau berkata ini kerana memperoleh kemerdekaan bukan perkara yang mudah namun ianya dilakukan dengan penuh hemah oleh pemimpin UMNO bagi memastikan orang Melayu bebas dalam mentadbir Tanah Melayu.

“Bagi saya jangan ada pun seorang yang mengatakan tak dapat apa-apa daripada perjuangan UMNO kerana kemerdekaan itu adalah satu perkara yang cukup mahal.

“Merdeka sebuah negara itu bukan perkara yang mudah tetapi Alhamdulillah, Allah melindungi kita dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dan pemimpin lain, mereka dapat menuntut kemerdekaan dengan penuh beradab dengan pihak British dan akhirnya negara ini merdeka.

“Kini masanya untuk rakyat Malaysia khas untuk orang Melayu supaya menghayati kemerdekaan dan menjaganya dengan tidak berpecah-belah. Kita kena berpakat kerana dulu sebelum merdeka persatuan Melayu ini banyak dicantumkan dan akhirnya tertubuhnya UMNO di istana.

“Inilah tingginya martabat UMNO bukan ditubuhkan di hotel ataupun dewan ini namun ditubuhkan di istana. Jadi maruah UMNO itu begitu tinggi. Walaupun bukannya ahli parti tetapi sebagai bangsa Melayu harus menghargai perjuangan kita ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Badruddin dalam pada itu berkata kenikmatan dan pencapaian yang diperolehi negara pada ketika ini adalah usaha yang dilakukan pemimpin UMNO yang mahu memastikan rakyat menikmati kemakmuran dan keperluan hidup terbaik.

“Walaupun UMNO melakukan sedikit kesilapan di sana dan di sini tetapi ingatlah jangan hina UMNO kerana UMNO inilah diibarat ibu yang menyuap nasi kepada mulut-mulut anak bangsa jadi jangan gigit jari itu.

“Kerana kadang-kadang orang hina UMNO dia lupa bahawa ijazah yang dia pegang itu adalah atas dasar perjuangan kita. Kesenangan kerja, perniagaan itu adalah asas dasar yang kita buat. Jadi segala-galanya orang Melayu menikmati atas dasar dan dasar-dasar yang dibuat oleh parti ini jadi inilah nilainya UMNO,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau berharap perbahasan PAU kali ini menyentuh tentang perjuangan silam dan kewajipan untuk terus mempertahankan kemerdekaan termasuk peranan anak-anak muda untuk mengambil alih perjuangan.

“Kita hendakkan anak-anak muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri sebagainya supaya bersama UMNO bagi menggamit mereka ini mungkin banyak untuk mereka mengetahui bahawa bukan senang mendapat kemerdekaan apatah lagi mengisi kemerdekaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit