PAU 2024: Wanita UMNO Anjur Bacaan Yasin, Kenang Pemergian Pejuang Parti

 

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Wanita UMNO telah menganjurkan majlis bacaan Yasin dan juga tahlil ringkas bagi mengenang jasa para pejuang parti yang telah meninggal dunia.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pada mulanya mereka merancang untuk mengadakan Majlis Makan Malam Wanita Luar Biasa, namun ia diubah kepada majlis bacaan Yasin dan tahlil.

“Alhamdulilah kita dapat bersama-sama berkumpul dalam dewan ini. Kita merancang namun perancangan Allah SWT adalah yang terbaik. Perancangan yang pada mulanya untuk mengadakan Majlis Makan Malam Wanita Luar Biasa, kita ubah kepada majlis bacaan yasin dan tahlil.

“Saya nak mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua yang dapat hadir pada malam ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Profesor Datuk Dr Fariza Md Sham selaku Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Agama Wanita UMNO Malaysia yang telah memimpin bacaan yasin dan tahlil sebentar tadi.

“Sebenarnya, majlis malam ini adalah bacaan yasin dan tahlil yang kita sedekahkan kepada tokoh-tokoh dan juga sahabat-sahabat kita yang telah meninggalkan kita lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Wanita Luar Biasa, semalam.

Menurutnya, UMNO telah melalui pelbagai siri pilihan raya pada tahun ini namun turut bersedih dan berdukacita di atas kehilangan para pemimpin Wanita UMNO yang telah pergi meninggalkan mereka.

“Pada tahun 2024 ini, kita bukan sahaja telah melalui pelbagai siri pilihan raya tetapi tahun ini juga kita sangat bersedih dan berdukacita. Terutamanya, ada lima orang pejuang parti yang telah meninggalkan kita.

“Pertamanya adalah Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman selaku mantan ketua Wanita UMNO Malaysia, yang memegang jawatan dari tahun 1996 hingga 1999. Kedua, Datuk Syarifah Azizah Azizah Syed Zain, iaitu Ketua Wanita Bahagian Kluang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota. Beliau juga adalah Exco Wanita UMNO Malaysia.

“Ketiga, Siti Azliza Ahmad, selaku mantan Ketua Wanita Seputeh. Kita juga kehilangan mantan Ketua Wanita Bahagian Pulai, Rokiah Hasan. Terakhirnya adalah Roziah Zakaria, selaku mantan Naib Ketua Wanita Bahagian Parit Buntar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan Wanita UMNO telah kehilangan permata yang cukup berharga kerana mereka telah memberikan khidmat bakti dan berjuang demi parti semasa hayat mereka.

“Sebenarnya, kita kehilangan permata parti yang cukup bernilai… yang memberikan khidmat bakti semasa hayat mereka, berjuang demi agama, bangsa, dan negara. Bersama-sama kita pada malam ini adalah ahli keluarga semua allahyarhamah. Saya bagi pihak Wanita UMNO Malaysia ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan sama-samalah kita mendoakan agar roh mereka ditempatkan di kalangan orang beriman.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada barisan tetamu istimewa telah sudi untuk bersama dengan kita, terutamanya isteri Timbalan Presiden kita sendiri yang telah melapangkan masa bersama dengan kita pada malam ini.

“Semoga rakan-rakan yang telah pergi dahulu meninggalkan kita ini digolongkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya lagi.

Turut hadir, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abd Rahim, Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, isteri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan kepimpinan Wanita UMNO dari setiap bahagian. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit