PAU 2024: Ahmad Zahid Tegaskan UMNO Sentiasa Utamakan Agenda Islam Dan Kepentingan Bangsa

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO sentiasa memberikan keutamaan dalam agenda Islam dan bangsa Melayu/Bumiputera biarpun berada bersama Kerajaan Perpaduan.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan sudah menghampiri dua tahun dan dapat dilihat bahawa keserasian itu wujud.

“Dalam tempoh dua tahun ini banyak soal Islam dan juga Melayu telah dapat dijelaskan apatah lagi yang kononnya UMNO tidak memberikan keutamaan kepada agenda Islam dan Melayu itu adalah sesuatu yang tidak benar.

“Malah UMNO melalui Kongres Ekonomi Bumiputera sendiri memainkan peranannya, seperti mana Halal Food, TVET dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi temu bual khas bersama Astro Awani sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, malam tadi.

Ahmad Zahid memaklumkan perhimpunan kali ini akan memberikan tumpuan tentang bagaimana dalam tempoh dua tahun ini UMNO memiankan peranan dalam kerajaan.

“Sepanjang tempoh bersama Kerjaan Perpaduan ini kita telah dapat memberikan sumbangan namun itu tidak begitu cukup untuk kita kerana sebelum ini persepsi yang dilemparkan kepada UMNO sangat negatif dan soal pengurusan persepsi ini sedang dilakukan.”

Jelas Ahmad Zahid, dalam PAU 2024, beliau akan memberikan tiga ucapan sebagaimana lazimnya iaitu Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup, kemudian ucapan dasar dan juga ucapan penggulungan.

Berkaitan penglibatan kepimpinan UMNO dalam kerajaan, beliau memaklumkan pelbagai pengalaman yang ada maka dapat disumbangkan dalam pentadbiran negara.

“Terdapat tujuh orang menteri yang mewakili UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang kesemuanya mempunyai pengalaman dalam mentadbir semasa dalam kerajaan terdahulu.

“Pengalaman-pengalaman itu membantu untuk UMNO menyumbang kepada idea dan pelaksanaan dasar-dasar dalam Kerajaan Perpaduan. Ini satu sikap yang sangat positif yang berlaku,” katanya lagi.

PAU 2024 akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos dengan pelbagai pengisian yang dimulakan oleh Penerangan UMNO Malaysia melalui sesi ‘PenTalk’ sebelum Taklimat Presiden berlangsung pada sebelah petang dan menyusul kemudiannya perasmian sayap-sayap UMNO.

Persidangan ini bakal melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara iaitu diadakan seusai mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang telah berlangsung dalam tempoh 21 Jun hingga 29 Julai lepas. Sebelum itu, mesyuarat peringkat Cawangan UMNO diadakan bermula 22 April hingga 2 Jun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit