Norshida Harap PAU 2024 Jadi Medan Penyatuan, Kesatuan Hati Pelbagai Peringkat

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berharap Perhimpunan Agung UMNO 2024 dapat menjadi medan penyatuan orang Melayu dan ruang bersatu hati pelbagai peringkat.

Katanya, ini penting dan merupakan satu langkah terbaik dalam usaha memastikan UMNO hari ini terus mengorak langkah berdepan pelbagai cabaran kelak.

“Jadikanlah Perhimpunan Agung UMNO 2024 medan penyatuan orang Melayu dan penyatuan bersatu hati sesama kita.

“Masing-masing tidak kiralah di mana sahaja dan pelbagai peringkat ahli perlu menjaga perpaduan… jangan sesekali mencalarkan keyakinan rakyat. Kita terus mara ke
depan dalam satu muafakat dan dalam satu saf yang gah serta penuh keyakinan,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi’rumah UMNO’ perlu dijaga sebaiknya agar tidak wujud lagi pelbagai pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap parti dan rakyat.

“Rumah kita adalah rumah UMNO, perlu dijaga supaya tidak wujud musang berbulu ayam. Sama-sama kita angkat parti UMNO agar terus relevan.

“Walau kita bukan parti dominan, kita percaya dan penuh yakin UMNO bukan sahaja perlu menyesuaikan diri malah melihat serta menyelami senario semasa untuk terus mengorak langkah ke depan. Selamat datang dan selamat bersidang buat seluruh perwakilan. Wanita siap siaga menghadapi PRU akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.