Negara Akan Terus Perkasakan Industri Sawit Dan Komoditi Lain – Johari

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian itu akan terus memperkasakan industri sawit di negara ini selain beberapa industri lain termasuklah getah serta koko dalam usaha melonjakkan lagi ekonomi negara.

Bagi beliau eksport sawit yang melebihi RM100 bilion daripada sumber ekonomi negara adalah satu jumlah yang cukup tinggi dan dari sudut konteks komoditi ia memberikan peluang pekerjaan yang cukup tinggi kepada rakyat di negara ini.

“Di antara komoditi yang ada dalam kementerian ini adalah pertama, yang paling besar sekali adalah kelapa sawit. Kemudian getah. Kemudian koko. Ketiga, kita ada furniture. Dari segi konteks ekonomi, kementerian ini mengeksport hampir RM160 bilion hasil yang dikeluarkan oleh negara kita. Kelapa sawit sahaja, daripada 160 bilion itu, kelapa sawit hampir melebihi 100 bilion. Itu dari segi konteks komoditi kita. Jadi apa hasil itu kepada rakyat? Pertama, dia mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat kita 1.25 juta.

“Kemudian, ia juga memberi peluang kepada pekebun-pekebun kecil kita, yang terdiri daripada banyak, khususnya orang-orang Melayu, hampir mencecah 550 ribu pekebun-pekebun kecil. Jumlah keseluruhan yang kita buat ini, ia telah memberi kerajaan cukai pendapatan hampir mencecah lebih daripada RM20-RM25 bilion pendapatan hasil daripada komoditi kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada program PENTalk yang dianjurkan Penerangan UMNO Malaysia, di sini, hari ini. Turut serta beberapa menteri kabinet lain serta menteri besar serta ketua menteri.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya menegaskan beliau tidak mahu industri sawit di negara ini menjadi seperti getah pada satu ketika merupakan pengeksport utama dunia, namun keadaan bertukar sebaliknya.

“Saya tak nak jadi macam getah. Getah dulu, kita merupakan pengeluar utama getah dunia. Oleh kerana kita tak jaga risiko getah ini, hari ini tiap-tiap tahun kerajaan terpaksa import RM6 bilion ringgit ‘natural rubber’ untuk bagi kepada industri pakai untuk ‘produce’ kita punya semua ‘rubber product’.

“Dulu kita pengeksport ‘natural rubber’, sekarang ini kita jadi pengimport ‘natural rubber’. Jadi apa yang berlaku? Kerana banyak daripada tanah-tanah getah kita ini tak ditoreh, takde orang tengok, maka akhirnya daripada 1.1 juta metrik tan kita keluarkan ‘natural rubber’, sekarang hanya tinggal 380.

“Jadi dalam masa yang begitu panjang, tidak ada orang tengok soal ini… soal dari segi bekerja, soal dari segi macam mana kita menguruskan ladang-ladang ini dengan cara yang skala besar, akhirnya kita menjadi pengimport,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.