Mohamad Cadang Pemuda Dan Puteri UMNO Rangka Penubuhan ‘Team Sukses UMNO’

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO agar merangka penubuhan ‘Team Sukses UMNO’.

Katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024 malam ini, objektif utama ‘Team Sukses UMNO’ adalah mahu mengembalikan kegemilangan parti.

“Matlamatnya hanya satu. Menjayakan operasi ‘Bringing Back UMNO’. Fokus utama pasukan sepenuh masa ini ialah melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO.

“Mengenal pasti setiap pengundi. Merangka manifesto. Menghasilkan pelbagai strategi kempen. Menyemak semua mereka yang berpotensi menjadi calon boleh menang. Yang paling utama, mengemudi kempen di persada media sosial.

“Ia mesti diuruskan seperti sebuah entiti perniagaan. Bukan entiti peperangan. Kenapa perubahan strategi ini penting. Kerana kita ingin pengundi tertarik dan membeli semula jenama UMNO ini. Dan ia memerlukan ‘a business and marketing strategy’, yang bersandarkan ‘consumer behavior’,” katanya di hadapan lebih tiga ribu perwakilan sayap parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Hadir sama Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda Dr Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Tambah Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), ‘Team Sukses UMNO’ mesti dipacu dari satu ‘command centre’.

“Yang akan disambut oleh semua di pelbagai negeri dan bahagian untuk disebar luas dan dijelaskan kepada setiap pengundi. Ini secara langsung dapat meringankan tugas semua pekerja di lapangan.

“Ini juga bermakna mereka di lapangan hanya perlu memberikan fokus kepada penjelasan isu setempat serta meraih sokongan setempat dengan pendekatan khidmat yang selama ini kita laksanakan,” katanya lagi.

Jelas Menteri Luar Negeri itu lagi, parti mesti belajar dari pelbagai pengalaman negara luar bagaimana untuk menubuh dan mengoperasikan Team Sukses mereka.

“Semuanya dioperasikan dengan kecekapan digital, sokongan data yang komprehensif, dan dianggotai oleh profesional dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang,” katanya.

Mohamad juga mencadangkan agar pasukan tersebut mesti dianggotai oleh pelbagai segmen profesional seperti ahli statistik, data saintis, pempengaruh media sosial, penyelidik, ahli media, pasukan kreatif dan sebagainya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit