Manfaatkan Penggunaan Media Sosial, Konten Menepati Cita Rasa Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komunikasi tanpa lisan atau penggunaan media sosial kini menjadi pilihan utama rakyat yang dilihat lebih mudah untuk diperolehi.

Katanya, konten menepati cita rasa pengguna media sosial juga berpotensi untuk tular dan dapat disebar luaskan kepada kelompok penonton lain secara meluas.

“Terdapat dua faktor komunikasi iaitu lisan dan tanpa lisan. Dalam dunia kontemporari sekarang kita dapati bahawa komunikasi tanpa lisan menguasai lebih daripada 83 peratus ertinya sosial media, radio, televisyen.

“Tapi bahan-bahan pemidato boleh ditranskrip ke sosial media, keberkesanan pengucapan awam dilihat ini semua ada 17 peratus.

“Namun sekiranya pidato atau pengucapan awam diletakkan di sosial media seperti saya bercakap 500 orang di hadapan saya tetapi seorang pemidato yang baik jika dirakam atau disiarkan secara langsung tular hingga ke sejuta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Akhir Pidato Piala Datuk Nurul Amal 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan kepimpinan lain.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata ia dapat dilihat pada video Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menanti ketibaan rakyat Palestin yang tular sehingga mencapai viraliti 6.3 juta tontonan.

“Inilah kesannya komunikasi lisan apabila dialih kepada komunikasi tanpa lisan keberkesannya lebih tinggi,” ujar beliau.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seterusnya berbesar hati menyampai hadiah kepada juara Sufiatul Aishah Rashidi yang merupakan wakil daripada Pulau Pinang.

Terdahulu, Pertandingan Akhir Pidato Piala Datuk Nurul Amal telah diadakan pada 10 Ogos lalu untuk peringkat saringan dan separuh akhir.

Selanjutnya, Ahmad Zahid menyambut baik penganjuran pertandingan ini yang mencungkil bakat baharu bagi mewakili parti untuk berpidato.

“Saya harap Pergerakan Puteri untuk tahun hadapan tambah luaskan lagi penyertaan bukan sahaja daripada bahagian-bahagian sahaja institusi awam dan swasta serta politeknik kerana saya kagum dengan peserta-peserta ini.

“Sudah tentunya piala ini bukan merupakan yang terakhir akan diadakan lagi jadi saya arahkan siapa pun ketua Puteri yang akan datang agar pertandingan ini wajib diteruskan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit