KULN Berperanan Bantu Parti, Bersama Kembalikan Kekuatan UMNO – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Datuk Mohamad Alamin menekankan pentingnya semua pihak memainkan peranan untuk mengembalikan kekuatan parti.

Ujar beliau, semua anggota dan penyokong UMNO termasuklah para pelajar KULN mempunyai tanggungjawab yang besar dan ada peranan masing-masing kepada parti.

“Kita perlu ambil peluang untuk cari jalan bagaimana perkuatkan parti kita. Setiap pihak memainkan peranan sama ada dalam peringkat kepimpinan atau ahli biasa, begitu juga KULN yang boleh memainkan peranan di luar negara.

“Kita mesti ada peranan dan berharap agar operasi KULN akan berjalan sebaik-baiknya. Menteri UMNO memainkan peranan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan dan begitu juga dengan pelajar yang ada tanggungjawabnya.

“Semua ada tanggungjawab yang amat besar dan ayuh kita perkuatkan parti ini dan kembalikan kepercayaan rakyat serta para pelajar termasuk di luar atau dalam negara. Kita akan pastikan KULN akan terus wujud, kuat dan relevan sama ada di peringkat nasional dan juga antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata demikian ketika berucap di hadapan para perwakilan KULN pada Majlis Makan Malam yang diadakan malam tadi, bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Dalam masa yang sama, Mohamad melahirkan kesyukuran kerana KULN masih dapat menghadirkan diri dalam PAU 2024.

“Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan yang mencabar tetapi dapat menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung UMNO. Ini adalah semangat perjuangan kerana bukan mudah untuk datang dalam keadaan politik yang berbeza dan mencabar.”

Beliau turut mengulas berkaitan kemenangan calon UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu lalu.

“Menang di Nenggiri adalah satu lonjakan yang amat besar dan kita kini berada dalam trek yang betul.
“Walaupun dalam politik ada ‘up and down’ tapi perlu tanamkan minda untuk terus menang,” katanya lagi.

Seramai 24 pelajar KULN mengikuti PAU 2024 melibatkan empat buah negara iaitu Indonesia, Mesir, Australia dan United Kingdom. Seramai tiga pelajar akan menjadi jurucakap dalam PAU 2024 iaitu dalam persidangan Pemuda, Puteri UMNO.

Majlis makan malam sedemikian adalah program tahunan yang diadakan sempena PAU 2024. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit