KPT Berfungsi Atas Landasan Sebaiknya, Jayakan Transformasi Pendidikan Negara – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata 20 landasan kementerian itu dilihat berjalan atas paksinya sendiri dan antara kemajuan yang boleh dilihat hari ini adalah soal transformasi dalam pendidikan.
Bagi beliau dalam tempoh terdekat beberapa kejayaan telah dapat dilihat antara lain pencapaian besar adalah melancarkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan negara.
“Salah satu agenda besar yang menjadi dasar besar kerajaan bagaimana kita nak melakukan transformasi dalam pendidikan kita, termasuk juga dalam ekonomi negara kita iaitu dasar Artificial Intelligence (AI).
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan penekanan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi mesti ada satu agenda besar dalam mengubah sistem pendidikan kita yang berteraskan kepada AI.
“Jadi apa yang kita lakukan, Alhamdulillah berkat daripada kerjasama yang kita dapat daripada semua pihak hanya dalam empoh lima bulan sahaja, kita telah berjaya melaksanakan satu agenda besar untuk negara iaitu dengan perasmian Malaysia Artificial Intelligence Nexus.
“Ia merupakan satu anjakan besar sebenarnya daripada digital ke AI dan sekarang ini, UTM menjadi universiti penerajunya di samping universiti-universiti yang lain juga turut membuka ruang untuk program-program besar ini dan termasuk juga pemain-pemain yang ada dalam pasaran. Malaysia hari ini dianggap antara negara dalam dunia yang membuat persiapan awal dalam bidang AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada program PENTalk yang dianjurkan Penerangan UMNO Malaysia, di sini, hari ini.
Turut serta beberapa menteri kabinet lain serta menteri besar serta ketua menteri.
Dr Zambry seterusnya menambah isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) hari ini tidak lagi mengganggu mahasiswa seluruh negara untuk masing-masing bergiat dalam politik dan memberikan mereka ruang yang cukup luas.
“Dengan adanya perubahan ini, mereka mempunyai ruang seluas-luasnya. Kita ada siswa-siswi UMNO yang ada dalam dewan ini. Mereka dapatkan ini dengan lebih bebas lagi. Mereka tak perlu lagi orang kata berselindung di sebalik ada persatuan itu persatuan ini.
“Alhamdulillah, kita dapat lihat bagaimana kuasa mahasiswa-mahasiswi kita yang bergerak dengan begitu baik sekali. Termasuk dalam pilihan raya yang baru lalu di Nenggiri. Bagaimana kita lihat mahasiswa-mahasiswi daripada UMNO berada di lapangan tanpa mereka merasai takut dan gusar sama ada mereka akan dikenalan tindakan atau sebaliknya,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.
Seterusnya Dr Zambry berkongsi bagaimana polemik Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway Program’ (PPP) yang berjaya dirungkai sebaiknya demi untuk kepentingan semua pihak.
“Perbahasan soal ini begitu panjang sekali. Masalah yang tidak dapat diselesaikan berkaitan dengan doktor-doktor yang tidak diiktiraf. Mereka dah belajar, dah mengikuti kursus-kursus mereka tetapi mereka tidak diiktiraf. Walaupun dari satu segi ia berada dalam kuasa Kementerian Kesihatan. Tetapi ada juga terkait dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Maka kita menggerakkan pertama kali untuk memastikan supaya masalah yang membelenggu selama ini doktor-doktor pakar yang tidak boleh praktis kita mulakan. Alhamdulillah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan kita dapat selesaikan masalah itu.
“Dan hari ini doktor-doktor pakar yang tidak boleh praktis itu dapat berada di hospital-hospital bagi memberi khidmat mereka. Ini merupakan isu besar… kalau kita lihat bagaimana nak menyelamatkan nyawa, itu antara hujah-hujah yang diberikan oleh doktor-doktor pakar. Dan akhirnya kita dapat selesaikan baru-baru ini dengan pindaan akta di dalam Parlimen,” ujarnya. – UMNO Online