Khaled Tegaskan Kedaulatan Dan Keselamatan Negara Tetap Jadi Keutamaan, Aset Diperkasakan  

KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata pelbagai pencapaian telah dapat dilihat menerusi perancangan serta pelaksanaan di kementerian berkenaan dalam usaha memastikan segala dasar khususnya melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara terus ditingkatkan.

Menerusi PENTalk hari ini beliau seterusnya berkongsi bagaimana aset-aset pertahanan terus diperkasakan dari semasa ke semasa dan antara lain termasuklah pembinaan kapal pesisir pantai (LCS) yang akan siap dalam tempoh jangka masa ditetapkan.

“Pembinaan kapal LCS yang bermula daripada 2011 pada ketika ini ia berjalan mengikut jadual. Dalam tempoh kerajaan yang ada pada hari ini akhirnya kapal LCS akan dapat disiapkan.

“Sebanyak lima buah kapal akan dibina dan pada tahun 2026 adalah penghantaran pertama dan begitulah seterusnya. Begitu juga pelbagai aset kelengkapan lain termasuklah pesawat tempur ringan daripada Korea dan insya-Allah akan dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan,” ujarnya.

PENTalk merupakan medium anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang turut menampilkan beberapa penceramah lain termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan beberapa menteri kabinet yang lain.

Pada sesi itu juga Khaled turut berkongsi berkenaan Program Latihan Khdimat Negara (PLKN) yang akan bermula pada tahun depan membabitkan pelajar-pelajar daripada tingkatan empat.

“Kita bersetuju untuk kita lancarkan pada tahun depan. PLKN tujuannya untuk kita pastikan adanya semangat patriotisme sayangkan negara dan hormat-menghormati rakyat berbilang kaum dalam negara.

 

“Kita percaya melalui usaha ini sedikit sebanyak ia boleh tangani soal ketaksuban, fanatik sebahagian daripada masyarakat kita. Ini bermula tingkatan empat yang diperkenalkan sebagai fasa asas melibatkan remaja pra-PLKN,” ujar Naib Presiden UMNO itu lagi.

Seterusnya Khaled memaklumkan berkaitan misi membawa mangsa rakyat Palestin ke negara ini yang dianggapnya sebagai misi yang berjaya.

“Kita bawa pesakit daripada Ghaza. Alhamdulillah kita berjaya misi tersebut. Satu-satunya negara dalam Asia yang telah memainkan peranan dan semua ini khususnya Palestin sudah menjadi perjuangan UMNO sekian lama.

“Atas sebab itulah kita telah berjaya laksanakan operasi ini walaupun ada sedikit sebanyak suara tidak bersetuju… Alhamdulillah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit