UMNO Pahang Menyokong Penuh Titah Tengku Mahkota Pahang

KUANTAN, 20 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyokong penuh titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini rentetan tindakan Muhyiddin yang telah memperlekeh dan mempertikai tugas dan peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan, tindakan Tan Sri Muhyiddin itu merupakan satu tindakan yang sangat biadab, menghina Institusi Diraja serta mempertikaikan kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyelesaikan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, terutamanya dalam isu pelantikan Perdana Menteri pada ketika itu.

“Seperti mana kemurkaan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, kami juga turut merasa marah dan tersinggung dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang boleh disifatkan sebagai berniat jahat dan cuba menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu bidas Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang, kenyataan Muhyiddin juga telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni serta menggores perasaan rakyat yang sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Sultan Pahang serta Institusi Diraja Pahang.

Oleh yang demikian tambahnya, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyeru agar seluruh rakyat di negara ini, terutamanya rakyat di negeri Pahang agar terus menzahirkan taat setia dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu serta berpegang teguh Prinsip Rukun Negara. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.