Skuad Sayang 3K Teruja Warnai PAU 2024, Sediakan Reruai Rai Pengunjung
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Skuad Sayang 3K teruja untuk mewarnai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan turut menyediakan reruai bagi meraikan para perwakilan serta pengunjung.
Timbalan Komanden Kebajikan Skuad Sayang Malaysia, Reny Rahayu Mohd Ishak berkata, terdapat 50 orang peserta perbarisan terdiri daripada ahli UMNO dari Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Semuanya telah berjalan lancar. Kita Skuad Sayang pada tahun ini seramai 50 orang akan menyertai perbarisan. Peserta perbarisan ini daripada dua negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga Selangor. Kemudian, kita juga ada buat kutipan tabung untuk Skuad Sayang yang akan berjalan selama tiga hari, bermula 22 hingga 24 Ogos.
“Seterusnya, kita ada juga booth (reruai) Skuad Sayang selama empat hari bermula dari 21 hingga 24 Ogos dan pelbagai lagilah aktiviti Skuad Sayang pada PAU tahun ini, antaranya kita memberi makan, minum pagi dan petang kepada pengunjung-pengunjung yang datang bersama-sama memberi sokongan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) ini.
“Di reruai Skuad Sayang itu kita ada buat jualan barangan Skuad Sayang seperti pakaian, cenderahati vest, t-shirt, payung, topi, tuala, cawan dan pelbagai lagi yang berlabelkan logo Skuad Sayang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui bahawa kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah memberikan semangat kepada para perwakilan untuk hadir ke PAU 2024.
“Saya dapat rasa pada PAU kali ini kita boleh melangkah masuk ke WTC dengan penuh semangat. Alhamdulilah. Ini disebabkan kita menang di kawasan Nenggiri pada PRK baru-baru ini.
“Insya-Allah kita juga akan memastikan momentum kemenangan ini berterusan ke DUN Mahkota yang akan berlangsung pada September ini. Saya penuh yakin kita akan berjaya mencipta kemenangan lagi.
“Wanita UMNO akan sentiasa bersemangat dan terus bekerja untuk memastikan kemenangan UMNO/BN di DUN Mahkota seperti di DUN Nenggiri,” katanya lagi.
Sementara itu, peserta perbarisan Skuad Sayang, Sharifah Rosyah Syed Harun berkata, beliau akan menyertai perbarisan Skuad Sayang pada setiap tahun ia diadakan ketika PAU.
“Saya duduk dalam politik (UMNO) ini hampir 30 tahun. Setiap kali menjelang PAU saya akan bersemangat untuk menyertai perbarisan Skuad Sayang ini. Setiap tahun saya akan sertainya tanpa gagal.
“Saya setia bersama UMNO dari muda sehinggalah sekarang. Cuma dulu saya tidak terlibat dengan Pergerakan Puteri UMNO memandangkan sayap tersebut belum wujud pada ketika itu. Saya terus menyertai Wanita UMNO.
“Kebanyakan peserta perbarisan Skuad Sayang ini saling mengenali sebab selalunya ia melibatkan Wanita UMNO dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sepanjang menyertai perbarisan ini tiada langsung halangan. Tidak cukup rehat pun tidak mengapa. Ini semua disebabkan semangat juang kepada parti,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, kemenangan UMNO/BN pada PRK DUN Nenggiri menyemarakkan lagi semangat beliau untuk turut serta dalam perbarisan dan juga PAU 2024.
“Penuh bersemangat sebab kita dah menang di Nenggiri. Saya datang ke raptai ini dengan penuh rasa gembira dan teruja. Kemenangan ini menunjukkan bahawa sebenarnya UMNO masih di hati rakyat Malaysia cuma reputasi kita terganggu disebabkan fitnah dilempar pihak lawan.
“Saya gembira melihat penerimaan anak-anak muda di Nenggiri. Saya nampak Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bekerja ‘all out’ kali ini di media sosial. Kalau Wanita UMNO yang dah berumur ini, hati kami memang tetap pada UMNO. Jadi, apabila kita beri servis sikit-sikit pun mereka masih bersama kita.
“Saya berpandangan kita perlu meneruskan gaya berkempen macam di Nenggiri untuk menang pada pilihan raya akan datang. Kita kena agresif dan tidak boleh sekadar mengikut cara lama. Kalau dahulu, bolehlah. Sekarang ini kita kena maksimumkan penggunaan media sosial dalam menangkis segala fitnah dan tohmahan pihak lawan,” katanya lagi.
Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.
Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.
PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online