Skuad Sabil Sedia Berkhidmat, Kawal Keselamatan Sepanjang PAU 2024

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Skuad Sabil Malaysia telah bersedia untuk berkhidmat bagi menjaga keselamatan para pemimpin dan perwakilan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini.

Setiausaha Skuad Sabil Malaysia, Mohd Razi Othman berkata, seramai seratus orang pegawai dari seluruh negara telah dipanggil untuk berkhidmat dan akan mula hadir pada hari ini.

“Alhamdulilah untuk Skuad Sabil Malaysia, kami telah memanggil para pegawai dari seluruh negara. Seramai seratus orang akan bertugas di PAU 2024 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Mereka akan mula menghadirkan diri untuk persiapan terakhir pada 20 Ogos (hari ini) untuk kita bahagikan tugas agar segalanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau merasa bersyukur dan berbangga kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada orang penting sepanjang PAU ini dan mengharapkan agar para perwakilan mematuhi segala arahan sepanjang persidangan berlangsung.

“Alhamdulillah, kami semua merasa bersyukur dan juga berbangga kerana diberi amanah sekali lagi untuk menjaga keselamatan dan juga ketenteraman di PAU pada kali ini.

“Saya berharap semua perwakilan yang dapat mengikut arahan dan juga panduan daripada pasukan keselamatan yang ada. Bukan sahaja daripada Skuad Sabil, ada juga daripada RELA, Polis dan agensi yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Skuad Sabil PAU 2024, Helmi Ali berkata, semua pegawai yang telah diamanahkan untuk bertugas pada persidangan tersebut sangat bersemangat dan bersedia sepenuhnya.

“Untuk PAU kali ini alhamdulillah semua anggota telah bersedia untuk menjalankan tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kami merasa gembira dan bangga kerana telah diberikan kepercayaan untuk menjaga keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.

“Sebenarnya kami sudah bertahun diberikan amanah untuk mengendalikan PAU. Alhamdulillah dengan izin Allah kami diberi peluang untuk menjaga ketenteraman persidangan termasuklah para pemimpin parti.

“Pesanan saya kepada para perwakilan, sila ikut segala arahan yang diberikan oleh Skuad Sabil Malaysia dan jangan lupa untuk sentiasa memakai pas yang dibekalkan. Semoga selamat sampai ke WTC, insya-Allah kita jumpa di PAU 2024 ini dan selamat bersidang,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung bermula esok, 21 Ogos sehingga 24 Ogos ini, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit