Semoga PAU 2024 Dapat Terjemah Kesepaduan Antara Pemimpin, Ahli – Azhar

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azhar Zainal Abidin mengharapkan agar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini dapat menterjemahkan kesepaduan di antara pemimpin dan akar umbi.

Ujarnya, PAU menjadi medan tertinggi untuk ahli-ahli dan akar umbi menyatakan apa jua pandangan dan harapan mereka kepada parti serta negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, saban tahun PAU diadakan bukan sahaja untuk melaksanakan tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah parti sahsiah, namun PAU juga menjadi medan tertinggi untuk ahli-ahli parti dan akar umbi menyatakan apa jua pandangan serta harapan ketika bersidang.

“PAU juga menjadi instrumen bagi menyatu-padukan ahli-ahli parti dari segenap pelusuk tanah air baik daripada peringkat pucuk pimpinan sehinggalah ke peringkat akar umbi.

“Saya yakin dan percaya bahawa PAU kali ini memainkan peranan cukup penting dan bermakna lebih-lebih lagi bagi menilai prestasi parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan memberikan sumbangan kepada pentadbiran negara.

“Ahli-ahli parti khususnya di peringkat akar umbi semestinya bertanyakan tentang hala tuju UMNO lebih-lebih lagi tentang kedudukan parti di dalam kerajaan perpaduan.

“Sebagai parti kerajaan yang mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri agak ramai dan tahu bekerja serta ‘perform’ berbanding parti-parti lain dalam kerajaan. Ini membuktikan bahawa UMNO/BN mempunyai pemimpin yang tahu bagaimana untuk mentadbir negara, sekaligus memberikan imej yang baik kepada parti untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“PAU kali ini juga diharapkan dapat memberikan suntikan semangat kepada ahli-ahli untuk terus mempertahankan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dan bangkit semula bagi membina kegemilangan parti ini seperti sebelumnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar Pergerakan Pemuda UMNO dapat terus memainkan peranan sebagai pemangkin parti di samping berani untuk menyuarakan suara rakyat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui kepimpinan Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh dilihat mampu menarik kembali kepercayaan rakyat, bukan sahaja orang muda, malah segenap lapisan masyarakat melalui gerak kerja yang bersungguh-sungguh dan prinsip politik yang jelas. Diharapkan Pemuda UMNO Malaysia dapat terus memainkan peranan sebagai pemangkin parti dan berani bersuara demi kebaikan parti serta ahli-ahlinya.

“Saya berharap agar PAU kali ini akan dapat menterjemahkan kesepaduan di kalangan pimpinan tertinggi dan ahli-ahli akar umbi khususnya yang kekal setia dengan perjuangan parti ini daripada dulu sehingga kini.

“Kepada para perwakilan, gunakanlah medan PAU ini untuk membahaskan usul dan maslahat rakyat agar parti ini terus dilihat sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat. Semoga ahli-ahli UMNO seluruh negara dapat turun beramai-ramai ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan parti dan mempamerkan kesepaduan kita sebagai ahli yang setia daripada dulu, kini dan selama-lamanya,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.