Persiapan Indahkan WTCKL Rancak Dilaksana, Gamit Perwakilan Ke PAU 2024

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bahang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos semakin terasa.

Lokasi PAU 2024 bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) semakin rancak dengan pelaksanaan gerak kerja dilakukan oleh para petugas yang sibuk memasang hiasan termasuk di tiang utama, poster grafik, sepanduk dan bendera di seluruh bangunan.

Tinjauan UMNO Online mendapati kawasan sekitar WTCKL turut berubah dengan imej parti yang mengalu-alukan kehadiran 6,433 perwakilan dari seluruh negara, ahli parti dan juga orang ramai termasuk penyokong parti terbesar orang Melayu ini.

Pelbagai pihak termasuk kontraktor yang menyediakan kelengkapan, pempamer dan pengusaha gerai jualan bertungkus lumus membuat persiapan masing-masing dan tidak ketinggalan juga kakitangan WTCKL giat melakukan kerja-kerja persiapan akhir.

Selain itu, kakitangan ibu pejabat UMNO juga sibuk melakukan kerja-kerja akhir bagi menyusun bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam beg perwakilan dan akan diedarkan pada hari pendaftaran PAU 2024 nanti.

Agensi media juga tidak ketinggalan mempersiapkan ruang kerja di Laman Media yang disediakan untuk petugas bagi membuat liputan sepanjang perhimpunan tersebut.

Penganjuran ini melibatkan sebanyak 60 buah agensi media yang terdiri dari media cetak dan elekronik iaitu 54 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 390 orang petugas media yang telah berdaftar melakukan liputan sepanjang pelaksanaan PAU selama empat hari.

PAU 2024 turut menyediakan lebih 100 buah gerai-gerai yang menjual pelbagai pakaian, cenderahati, produk kesihatan industri kecil dan sederhana (IKS) dan sebagainya.

PAU 2024 yang akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian-bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit