‘PENTalk’ Penerangan UMNO Bakal Buka Tirai PAU2024, Kongsi Suara Kepimpinan Parti

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Tirai Perhimpunan Agung UMNO 2024 akan bermula esok dengan Penerangan UMNO Malaysia akan menganjurkan ‘PENTalk’ bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari.

Penerangan UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said menganjurkan program ini dengan hasrat untuk berkongsikan kejayaan dan strategi pencerahan terbaik kepada ahli dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan hadir bagi menyempurnakan Perasmian Anjung Pejuang diikuti dengan perkongsian pencapaian UMNO/Barisan Nasional (BN) oleh figura-figura parti yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

Antara figura yang akan memberi perkongsian tersebut adalah Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Perladangan dan komiditi merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani; Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, antara figura yang turut akan berkongsi mengenai kecemerlangan UMNO/BN adalah Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Besar Perak merangkap Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman juga akan berkongsi resepi kejayaan UMNO/BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu dalam slot ‘NenggiriKita’.

Sebelum itu, terdapat tujuh slot perkongsian para pemimpin UMNO/BN dari aspek pengurusan propaganda menjelang PRU ke-16, media sosial, komunikasi dan kecerdasan buatan (AI) termasuklah dalam memulihkan sokongan anak muda terhadap parti.

Antara panel yang akan terlibat ialah Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam; Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Exco Wanita UMNO, Datin Naszriah Ngasri.

Untuk itu, Penerangan UMNO Malaysia ingin mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan termasuklah dari sayap Penerangan UMNO empat peringkat untuk meluangkan masa bagi menyertai ‘PENTalk’ ini.

Diharapkan program ‘PENTalk’ ini dapat memberikan aspirasi kepada semua perwakilan untuk mengekalkan momentum dan gerak kerja dalam memberikan penerangan terbaik kepada akar umbi serta rakyat bagi menghadapi PRU ke-16. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit