PAU 2024: UMNO Bangkit Untuk Terus Jadi Pilihan Utama Orang Melayu – Bastien

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – UMNO perlu terus bangkit bagi mendepani cabaran politik hari ini untuk terus menjadi pilihan orang Melayu, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn.

Menurut beliau ia boleh direalisasikan dengan memanfaatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bakal bermula pada 21 Ogos ini melalui pelbagai pandangan disuara oleh pembahas-pembahas.

Ujar beliau ini kerana segala idea-idea dibawa akar umbi tersebut perlu untuk diketengahkan kerana mereka antara yang berada di lapangan, di samping memahami denyut nadi rakyat.

“PAU ini sebagai platform untuk menyuarakan pandangan daripada akar umbi yang dibawa daripada seluruh negara.

“Dengarlah apa yang akan dibawa oleh akar umbi kerana mereka memberi sedikit panduan kepada kepimpinan untuk dalam langkah seterusnya bagi keputusan kerana akhirnya parti ini harus menang dan harus menjadi pilihan orang Melayu,” katanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada Rabu ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya.

Hari pertama tersebut juga menyaksikan Taklimat Presiden oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyampaikan aspirasi beliau kepada akar umbi parti untuk memastikan parti ini terus relevan dalam mendepani dinamika politik hari ini.

Ia melibatkan 6,433 perwakilan daripada seluruh negara termasuk kehadiran ketua-ketua Penerangan bahagian yang dijadikan perwakilan automatik sebagaimana pindaan kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat pada PAU sebelum ini.

PAU kali ini juga seperti kebiasaannya dengan adanya 100 gerai jualan yang akan dibuka kepada orang ramai dengan harga berpatutan disediakan sepanjang tempoh berlangsungnya persidangan ini.

Penganjuran ini melibatkan sebanyak 60 buah agensi media melibatkan media cetak dan elekronik iaitu 54 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 390 orang petugas media yang telah berdaftar yang melakukan liputan sepanjang pelaksanaan PAU selama empat hari. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit